KUALA LUMPUR, 30 OKT: Penjelasan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai manfaat hasil pertemuan beliau dengan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump baru-baru ini antara tumpuan persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman sesawang Parlimen, Suhaizan Kaiat (HARAPAN-Pulai) meminta Perdana Menteri menyatakan manfaat yang diperoleh hasil pertemuan dengan Trump dalam aspek perdagangan serta isu kemanusiaan di Gaza dan bidang strategik lain yang berkepentingan bersama Malaysia-AS.
Pada sesi sama, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) turut membangkitkan persoalan kepada Perdana Menteri berhubung kemajuan Kerajaan MADANI dalam menangani isu kemiskinan tegar dan kemiskinan secara keseluruhan.
Dalam sesi soal jawab pula, Pang Hok Liong (HARAPAN-Labis) membangkitkan mengenai kesediaan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk mewajibkan skim bina kemudian jual atau build-then-sell (BTS) 10:90 di seluruh negara untuk mengurangkan projek perumahan terbengkalai terutama projek kondominium bagi melindungi pembeli.
Sementara itu, Datuk Ahmad Amzad Mohamed @ Hashim (PN-Kuala Terengganu) meminta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri menyatakan hasil dan inisiatif utama daripada Sidang Kemuncak Semikonduktor Asean (ASEMIS) 2025 dalam mengukuhkan eksport semikonduktor, penyertaan dalam rantaian nilai serantau dan daya saing teknologi tempatan.
Datuk Seri Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) turut mengajukan soalan kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan sama ada kerajaan bakal mewajibkan pembinaan kemudahan seperti sekolah dan pusat asuhan kanak-kanak sebagai syarat kelulusan pembinaan projek perumahan berskala besar pada masa akan datang.
Selepas sesi itu, persidangan Dewan Rakyat diteruskan dengan penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 peringkat dasar oleh kementerian berkaitan.
Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Parlimen ke-15 Dewan Rakyat berlangsung selama 35 hari hingga 4 Disember.






