ad

Masih ramai ibu bapa abaikan kerusi keselamatan kanak-kanak

31 Okt 2025, 5:00 AM
Masih ramai ibu bapa abaikan kerusi keselamatan kanak-kanak

SHAH ALAM, 31 OKT: Kesedaran masyarakat terhadap penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak (CSR) masih rendah walaupun pelaksanaannya sudah diwajibkan sejak lima tahun lalu.

Aktivis keselamatan jalan raya, Shahrim Tamrin berkata isu itu memerlukan kerjasama semua pihak dan bukan hanya bergantung kepada tanggungjawab ibu bapa semata-mata.

“Kesedaran masyarakat masih rendah, komunikasi tentang kebaikan CSR jarang dibuat dan undang-undang pula tidak dikuatkuasakan secara serius,” katanya dalam program Bicara Semasa terbitan Media Selangor.

Menurut beliau, tiga faktor utama iaitu kesedaran, komunikasi dan peraturan bersifat mendidik perlu digerakkan seiring bagi memastikan setiap keluarga mengamalkan penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak.

“Tanpa komunikasi berterusan dan penguatkuasaan yang konsisten, undang-undang hanya akan tinggal di atas kertas,” ujarnya.

Aktivis Keselamatan Jalan Raya dan Pengangkutan Mampan Shahrim Tamrin. Foto HANISAH OTHMAN/MEDIA SELANGOR

Sementara itu, masih ramai ibu bapa dilihat belum menjadikan penggunaannya sebagai amalan ketika berada di jalan raya.

Antara alasan diberikan termasuk menganggap alat perlindungan itu leceh untuk dipasang, tidak tahu memilih kerusi sesuai, atau berpendapat harganya terlalu mahal.

Data Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) pada 2022 menunjukkan kadar penggunaan kerusi keselamatan itu hanya sekitar 30 peratus.

Statistik polis pada 2014 hingga 2023 merekodkan purata 434 kanak-kanak maut setiap tahun akibat kemalangan, bersamaan lapan kematian setiap minggu.

Situasi itu, menurut Shahrim, menggambarkan perlunya pendekatan lebih menyeluruh bagi memastikan keselamatan kanak-kanak di jalan raya sentiasa menjadi keutamaan.