ad

Selangor kekal hab pelaburan, SIBS 2025 rekod potensi transaksi RM8.17 bilion

29 Okt 2025, 9:09 AM
Selangor kekal hab pelaburan, SIBS 2025 rekod potensi transaksi RM8.17 bilion
Selangor kekal hab pelaburan, SIBS 2025 rekod potensi transaksi RM8.17 bilion

SHAH ALAM, 29 OKT: Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2025 merekodkan potensi transaksi berjumlah RM8.17 bilion, sekali gus mengukuhkan kedudukan Selangor sebagai hab perniagaan dan pelaburan terkemuka di Asia Tenggara.

Dalam kenyataan hari ini, Invest Selangor Berhad memaklumkan edisi kesembilan penganjuran tahunan itu menampilkan 740 reruai serta 581 peserta pameran, termasuk 10 negeri di Malaysia dan wakil dari seluruh rantau Asia Pasifik.

“Program ini menarik 56,938 pengunjung dari 89 negara, selain penyertaan 179 penceramah dan 5,810 peserta persidangan, sekali gus membuktikan profail antarabangsa SIBS yang terus meningkat sebagai platform perkongsian ilmu serantau,” jelas kenyataan itu.

Penganjuran selama empat hari tersebut merangkumi enam komponen utama — Taman Perindustrian dan Pelaburan Selangor (SPARK), Persidangan Perniagaan ASEAN Selangor (SABC), Ekspo Makanan dan Minuman Antarabangsa Selangor (SIE F&B), Konvensyen Bandar Pintar dan Ekonomi Digital Selangor (SDEC), Sidang Kemuncak Aeroangkasa Selangor (SAS), dan Sidang Kemuncak Penjagaan Antarabangsa Selangor (SICS).

“SPARK 2025 mencatat nilai transaksi berpotensi tertinggi iaitu RM6.96 bilion, diikuti SABC (RM844 juta), SIE F&B (RM96.97 juta), SDEC (RM208 juta), SAS (RM52.07 juta) dan SICS (RM5.1 juta).

“Setiap segmen menghimpunkan peneraju industri, inovator dan pembuat dasar bagi membincangkan peluang perdagangan, pelaburan dan teknologi,” jelas agensi itu.

Menurut Invest Selangor, beberapa Memorandum Persefahaman (MoU) turut dimeterai, menandakan peranan SIBS sebagai pemangkin pelaburan strategik dan kerjasama rentas industri.

Antara kerjasama utama ialah perjanjian Hab Hidrogen Hijau bernilai RM20 juta di Batang Kali antara Worldwide Holdings Bhd (menerusi Worldwide Energy Development Sdn Bhd), Ace Gases Sdn Bhd dan SKS Coachbuilders Sdn Bhd.

“Di bawah SDEC 2025, MoU antara Oppstar Bhd dan AsicAI Co merupakan pencapaian besar dalam memperkasa reka bentuk IC berasaskan AI serta penyelesaian semikonduktor, menyokong misi Selangor membangunkan ekosistem teknologi tinggi bernilai RM50 juta.

“Program ini turut menyaksikan pelancaran pameran jenama Xendit Malaysia, sekali gus mengukuhkan komitmen membantu PKS serta syarikat permulaan mempercepatkan penggunaan digital melalui inovasi teknologi kewangan,” katanya.

Invest Selangor memaklumkan bilangan MoU tertinggi dimeterai antara rakan strategik Invest Pahang dan syarikat pelabur, membabitkan tujuh perjanjian, termasuk kerjasama RM130 juta bagi Projek Pembangunan Jerantut Square yang bertujuan memperkasa pemodenan bandar dan pertumbuhan komersial di Pahang tengah.

Turut dimeterai, MoU bernilai RM1.185 juta antara Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas), UNIUNI dari Korea Selatan dan Hayat Technologies untuk memperkenal serta memperkukuh teknologi dan inovasi peranti bantuan di Malaysia.

Selain itu, perjanjian Memorandum Perjanjian (MoA) bernilai RM844 juta ditandatangani antara Dewan Perniagaan Malaysia Indonesia dan Asiosasi Badan Usaha Pelabuhan Indonesia (Abupi) bagi mengukuhkan hubungan perniagaan dalam sektor maritim dan pelabuhan.

“Secara keseluruhan, MoU yang dimeterai sepanjang SIBS 2025 meliputi pelbagai sektor termasuk pembuatan berteknologi tinggi, logistik, tenaga boleh diperbaharui, pembangunan pelancongan dan ekonomi digital, yang dijangka merangsang pelaburan mampan, mewujudkan lebih banyak pekerjaan dan memperkukuh rantaian nilai industri di seluruh Malaysia.

“Dengan penekanan kepada pelaburan, perdagangan, transformasi digital dan pertumbuhan mampan, SIBS terus menampilkan Selangor sebagai Gerbang ke ASEAN, menghubungkan komuniti perniagaan serantau dan pelabur antarabangsa melalui inovasi, kerjasama dan peluang,” tambah kenyataan itu.

Program berkenaan berlangsung pada 8 hingga 11 Oktober di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, dianjurkan Kerajaan Negeri Selangor dan diuruskan oleh Invest Selangor.