KUALA LUMPUR, 29 OKT: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyatakan kesediaan untuk menyokong penganjuran aktiviti permotoran berskala besar asalkan ia mematuhi undang-undang dan garis panduan keselamatan.
Timbalan Menterinya, Adam Adli Abdul Halim berkata, kejayaan penganjuran Himpunan RXZ Members 7.0 di Litar Permotoran Terengganu, Gong Badak, Ogos lalu yang menarik lebih 150,000 penyertaan menunjukkan potensi besar acara seperti itu dalam menarik minat anak muda serta menggerakkan ekonomi tempatan.
“Acara seperti ini memberi kesan positif kepada pembangunan belia dan ekonomi setempat. Namun, aspek undang-undang, keselamatan dan kerjasama pelbagai agensi mesti diberi perhatian bagi memastikan penganjurannya berjalan lancar dan berimpak tinggi,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Menurutnya, KBS menggalakkan agar karnival sukan permotoran dianjurkan dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Pengangkutan (MOT), bagi memperkukuh aspek keselamatan dan pengurusan.
Beliau menjawab soalan tambahan Nurul Amin Hamid (PN–Padang Terap) yang memaklumkan acara Himpunan RXZ Members 7.0 berjaya menjana limpahan ekonomi mencecah RM50 juta kepada peniaga kecil tempatan.
Sementara itu, menjawab soalan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (BN–Bera) mengenai cadangan pembinaan litar drag di setiap negeri, Adam Adli menjelaskan KBS tidak merancang untuk berbuat demikian kerana kos pembinaan dan penyelenggaraan yang tinggi.
“Bagaimanapun, KBS terbuka menerima cadangan pembinaan litar drag baharu sekiranya ia dibiayai oleh kerajaan negeri atau pihak swasta. Pembinaan fasiliti sukan memerlukan kerjasama kolektif antara pelbagai pihak termasuk Pihak Berkuasa Tempatan (PBT),” katanya.
Beliau menegaskan, usaha menambah baik kemudahan sukan dan rekreasi awam perlu dilaksanakan secara bersama bagi memberi manfaat kepada masyarakat setempat.




