ad

Malaysia berisiko kena tarif lebih tinggi jika perjanjian perdagangan dengan AS tidak dimeterai segera

29 Okt 2025, 5:48 AM
Malaysia berisiko kena tarif lebih tinggi jika perjanjian perdagangan dengan AS tidak dimeterai segera

KUALA LUMPUR: Malaysia berisiko berdepan tindakan balas daripada Washington termasuk kemungkinan peningkatan kadar tarif ke paras asal 24 peratus atau lebih tinggi hingga 100 peratus sekiranya Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) tidak segera dimeterai.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata keadaan itu akan memberi kesan langsung kepada daya saing eksport Malaysia ke pasaran AS, sekali gus menjejaskan syarikat tempatan serta peluang pekerjaan rakyat,” katanya dipetik Berita Harian.

"Jika perjanjian ini tidak dimuktamadkan, besar kemungkinan kadar tarif akan menjadi lebih tinggi. Siapa yang akan menanggung beban ini nanti?.

“Syarikat kita juga. Siapa yang akan kehilangan kerja dan punca pendapatan? Rakyat Malaysia juga," katanya dalam Sesi Kenyataan Menteri mengenai Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) Malaysia-AS di Dewan Rakyat, hari ini.

Tengku Zafrul berkata hasil rundingan intensif selama enam bulan membuahkan kejayaan apabila Malaysia dapat menurunkan kadar tarif yang dikenakan AS daripada 25 peratus kepada 19 peratus.

Ia juga adalah kadar terendah dalam kalangan negara ASEAN yang mempunyai lebihan dagangan dengan AS, setara dengan Kemboja, Indonesia, Filipina dan Thailand.

Lebih membanggakan katanya, Malaysia turut memperoleh pengecualian daripada tarif timbal balas 19 peratus itu bagi 1,711 barisan tarif (tariff lines) membabitkan pelbagai produk eksport utama negara seperti minyak sawit, barangan berasaskan getah, produk koko, komponen dan alat ganti pesawat serta farmaseutikal.

Produk-produk tersebut katanya secara kolektif menyumbang hingga RM22 bilion (AS$5.2 bilion) atau sekitar 12 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport Malaysia ke AS pada 2024.

"Ini bukan satu angka kecil. Perjanjian ini memastikan akses yang berterusan bagi eksport barangan Malaysia ke pasaran AS dan memberi kelegaan kepada banyak industri tempatan," katanya.

Tengku Zafrul menjelaskan, ketidaktentuan mengenai pelaksanaan perjanjian juga kelak akan menjejaskan keyakinan pelabur terhadap Malaysia.

"Pelabur tidak akan melabur di negara yang kelihatan teragak-agak dan tidak bersedia melindungi pasaran eksportnya sendiri.

"Kebolehramalan dan kebolehjangkaan amat penting kepada komuniti perniagaan," katanya.