SHAH ALAM, 29 OKT: Sidang Kemuncak Asean ke-47 disifatkan mampu memberi kesan positif kepada ekonomi Malaysia terutama dari aspek pengukuhan perdagangan bebas serantau.
Presiden Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM), Mohammad Sahar Mat Din berkata pelaksanaan sidang itu dilihat sebagai langkah strategik memperkukuh kedudukan negara di pentas Asean dan antarabangsa.
“DPIM menyambut baik sidang ini kerana membuka ruang besar kepada syarikat dan usahawan Malaysia terutama dari kalangan usahawan Muslim untuk memanfaatkan manfaat ekonomi dalam rantau lebih 650 juta pengguna,” katanya dalam kenyataan semalam.
Menurut beliau, kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui dasar kerajaan Madani turut memainkan peranan penting dalam mengukuhkan keupayaan negara dalam perdagangan bebas Asean.
Antara kesan langsung yang dijangka dinikmati ialah penghapusan tarif bagi beberapa barangan import dan peluasan akses ke pasaran Asean yang semakin berkembang.
“Langkah ini juga akan memperkukuh rantaian bekalan dan pelaburan strategik serta memberi peluang besar kepada jenama tempatan dan produk halal Malaysia untuk menembusi pasaran global,” ujarnya.
Beliau menyatakan Malaysia kini berada di landasan kukuh untuk muncul sebagai pusat perdagangan Islam dan hab ekonomi serantau menerusi pengukuhan kerjasama Asean.
Katanya lagi, pendekatan ekonomi inklusif dan strategik kerajaan Madani memberi keyakinan baharu kepada komuniti usahawan Muslim tempatan untuk bersaing secara global.
Sidang Kemuncak Asean ke-47 yang melibatkan pemimpin dan wakil negara rantau itu membincangkan pelbagai isu termasuk integrasi ekonomi, cabaran geopolitik dan masa depan serantau pasca pandemik.
DPIM optimis sidang itu bukan sahaja membuka peluang kerjasama rentas negara, malah memperkukuh jaringan dagangan Islam dalam skala lebih menyeluruh.







