ad

Sebar gambar lucah bekas kekasih, penganggur ditahan

28 Okt 2025, 1:31 PM
Sebar gambar lucah bekas kekasih, penganggur ditahan

SHAH ALAM, 28 OKT: Polis menahan seorang lelaki selepas disyaki menyebar gambar lucah bekas teman wanitanya di aplikasi kumpulan WhatsApp pelajar sebuah kolej swasta di Kajang.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata pihaknya menerima laporan polis pada jam 8.26 malam Khamis lalu daripada seorang wanita berusia 24 tahun yang bekerja di sebuah kolej swasta.

“Mangsa mendakwa gambar mengaibkan itu diedarkan oleh suspek berusia 40 tahun yang juga bekas teman lelakinya.

"Bertindak atas maklumat, polis menahan suspek di kawasan Kajang pada jam 9.35 malam, kelmarin," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati lelaki berkenaan menganggur dan mempunyai sembilan rekod jenayah lampau.

Katanya, sebuah telefon bimbit yang dipercayai digunakan dalam kes berkenaan turut dirampas.

“Suspek direman selama tiga hari hingga esok bagi membantu siasatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya.

Tambah beliau, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini diminta menghubungi balai polis berdekatan atau Penolong Pegawai Penyiasat kes, Sarjan Siti Aidah Yem di talian 010-2176278 bagi membantu siasatan.