ad

Bukit Aman: 11 kemalangan direkod sepanjang Sidang Kemuncak Asean

28 Okt 2025, 9:48 AM
Bukit Aman: 11 kemalangan direkod sepanjang Sidang Kemuncak Asean

HULU SELANGOR, 28 OKT: Sebanyak 11 kemalangan kecil direkodkan sepanjang penganjuran Sidang Kemuncak Asean ke-47, membabitkan kenderaan yang membawa tetamu kenamaan serta pasukan pengiring, dengan dua anggota trafik dilaporkan cedera ketika menjalankan tugas.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, kedua-dua anggota terbabit yang patah kaki kiri dan cedera tangan kiri kini berada dalam keadaan stabil dan sedang menjalani rawatan pemulihan.

“Mereka menunjukkan semangat serta motivasi tinggi untuk kembali bertugas sebaik pulih sepenuhnya,” katanya ditemui selepas mengadakan lawatan kebajikan terhadap anggota berkenaan di sini hari ini.

Turut hadir Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin dan Setiausaha Politik Menteri Dalam Negeri Omar Mokhtar.

Mohd Yusri berkata JSPT akan menjalankan 'post-mortem' bagi menilai semula prosedur operasi standard (SOP) dan langkah penambahbaikan untuk memperkukuh keselamatan anggota dan pengguna jalan raya selepas Sidang Kemuncak Asean yang berlangsung di ibu negara.

Dalam pada itu, beliau menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail atas keprihatinan terhadap kebajikan anggota yang cedera ketika bertugas.

Koperal Kamarul Suari, 35, yang cedera selepas motosikal ditungganginya dilanggar pacuan empat roda di Kilometer 22.3 susur keluar Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Dengkil arah utara Lebuhraya Elite Sabtu lalu, berkata kejadian itu tidak mematahkan semangatnya untuk terus berkhidmat sebagai anggota trafik.

“Sudah 11 tahun saya berkhidmat dalam pasukan trafik dan ini kali kedua saya terlibat kemalangan, saya mahu cepat sembuh supaya dapat meneruskan tugasan," katanya yang cedera pada bahagian kaki kiri.

Lans Koperal Muhammad Danial Mohd Nadzri, 25, yang mengalami kecederaan di tangan kiri turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri, JSPT serta Kementerian Dalam Negeri atas keprihatinan dan sumbangan yang diberikan.

“Ini memberi semangat dan kekuatan rohani serta jasmani kepada saya untuk segera pulih dan kembali bertugas,” katanya.

Dalam kejadian Ahad lalu, Muhammad Danial cedera selepas motosikalnya terlanggar bahagian belakang sebuah kereta yang berhenti secara tiba-tiba dalam kemalangan di Jalan Tun Razak berhampiran susur keluar Jalan Kinabalu di ibu negara ketika mengiringi delegasi dari Brazil.

- BERNAMA