ad

Akta Anti-Buli: Langkah tegas bendung budaya ganas di sekolah

29 Okt 2025, 2:01 AM
Akta Anti-Buli: Langkah tegas bendung budaya ganas di sekolah

SHAH ALAM, 29 OKT: Desakan agar Akta Anti-Buli digubal segera semakin mendapat perhatian susulan peningkatan kes keganasan dan buli di sekolah yang sepatutnya menjadi tempat paling selamat untuk pelajar.

Cadangan penggubalan akta oleh Kementerian Pendidikan (KPM) disambut baik pelbagai pihak, khususnya golongan muda yang melihatnya sebagai langkah penting memperkukuh disiplin serta keselamatan pelajar.

Pelajar Fakulti Komunikasi dan Media UiTM, Wan Muhammad Danish Azfar Usuluddin.

Pelajar Fakulti Komunikasi dan Media Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Wan Muhammad Danish Azfar Usuluddin, 22, percaya akta tersebut dapat membentuk pelajar berakhlak serta berdisiplin tinggi.

“Sekolah bukan hanya berfokus pada akademik, tetapi juga perlu menerapkan nilai akhlak kepada pelajar.

"(Justeru) Akta Anti-Buli wajar diperkenalkan bagi mendisiplinkan pelajar termasuk memberi ruang kepada guru untuk memberi hukuman rotan atas tujuan mendidik,” katanya kepada Media Selangor.

Pelajar Fakulti Undang-undang UiTM, Syamimi Ayu Jesnita Mohd Shuhaimi.

Pelajar Fakulti Undang-undang UiTM, Syamimi Ayu Jesnita Mohd Shuhaimi, 22, pula berpendapat akta tersebut bukan sahaja memberi pengajaran kepada pelaku buli, malah memastikan semua pelajar berasa dilindungi daripada sebarang bentuk pembulian termasuk di media sosial.

“Akta yang (akan) diperkenalkan ini bukan sahaja mengatasi masalah buli di sekolah, malah turut meliputi isu buli di media sosial,” katanya.

Bagi pelajar Fakulti Kejuruteraan Awam UiTM, Muhammad Taufiq Abdul Rahman, 22, tindakan tegas bersifat mendidik perlu diambil terhadap pelajar yang melanggar peraturan agar mereka sedar akan akibat perbuatan sendiri.

“Remaja perlu dibendung sejak awal. Mereka perlu didikan tegas namun tidak melampaui batas oleh guru,” katanya kepada Media Selangor.

Pelajar Fakulti Kejuruteraan Awam UiTM, Nur Madihah Mohtar.

Sementara itu, pelajar Fakulti Kejuruteraan Awam UiTM, Nur Madihah Mohtar, 22, menyifatkan langkah menggubal akta itu sebagai wajar bagi membanteras kegiatan tidak bermoral dalam kalangan pelajar.

“Ia dapat melahirkan generasi lebih berdisiplin dan mengelak mereka daripada melakukan perkara tidak diingini,” ujarnya.

Terdahulu, Sekretariat Sekolah Selamat menyerahkan Memorandum Sekolah Selamat kepada wakil rakyat di Parlimen yang mengandungi 11 tuntutan utama bagi memperkukuh keselamatan pelajar di sekolah.

Wakil sekretariat, Ain Husniza Saiful Nizam sebelum ini menjelaskan antara tuntutan utama ialah penggubalan Akta Anti-Buli Kebangsaan yang menekankan pendekatan pemulihan serta pelaksanaan program pencegahan di setiap sekolah.