ad

Malaysia serah tugas Pengerusi Asean kepada Filipina

28 Okt 2025, 9:13 AM
Malaysia serah tugas Pengerusi Asean kepada Filipina
Malaysia serah tugas Pengerusi Asean kepada Filipina
Malaysia serah tugas Pengerusi Asean kepada Filipina

KUALA LUMPUR, 28 OKT: Malaysia hari ini menyerahkan tanggungjawab sebagai Pengerusi Asean kepada Filipina, menandakan berakhirnya penganjuran Sidang Kemuncak Asean Ke-47 dan sidang berkaitan yang berlangsung di ibu negara.

Upacara penyerahan tukul yang menjadi simbolik acara itu dilakukan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada Presiden Filipina Ferdinand Marcos Jr, yang akan memimpin blok serantau itu bermula 1 Januari 2026.

Penyerahan itu disaksikan oleh ketua kerajaan dan perwakilan negara anggota Asean serta Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), António Guterres.

Filipina akan memikul tanggungjawab sebagai pengerusi Asean buat kali keenam selepas mengetuai pada 1976, 1987, 1999, 2007 dan 2017.

Sidang kemuncak tahun ini menumpukan kepada agenda memperkukuh kerjasama serantau, mempercepatkan transformasi digital, serta memperkukuh peranan Asean sebagai blok yang stabil dan berpengaruh dalam landskap geopolitik global.