SHAH ALAM, 28 OKT: Kanak-kanak lelaki yang cedera parah selepas lehernya dikelar di sebuah rumah di Parit Raja semalam kini dilaporkan stabil selepas menjalani pembedahan di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI).
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, mangsa sudah boleh bercakap namun masih memerlukan rawatan rapi daripada pasukan perubatan, lapor Berita Harian.
“Setakat ini polis belum merekodkan keterangan daripada mangsa sehingga keadaannya benar-benar pulih. Siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian,” katanya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan parah.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 pagi semalam, mangsa ditemui dalam keadaan berlumuran darah selepas dipercayai dikelar menggunakan senjata tajam.
Menurut polis, kejadian disedari ibu mangsa berusia 40 tahun yang tersedar daripada tidur sebelum mendapati anak lelakinya cedera di leher lalu membawanya ke hospital untuk rawatan segera.
“Polis masih meneliti semua sudut dan terlalu awal untuk mengenal pasti motif kejadian,” tambah Shahrulanuar.




