Berjiwa kental, tubuh kecil, tetapi semangatnya luar biasa.
Itulah gambaran paling tepat buat Ahli Dewan Negeri (ADN) Kampung Tunku, Lim Yi Wei yang menulis sejarah baharu apabila dilantik sebagai presiden wanita pertama Kesatuan Ragbi Selangor (KRS) selepas lebih 100 tahun organisasi itu diterajui lelaki.
Bagi Yi Wei, perjalanan ke dunia sukan ragbi bukan sesuatu yang dirancang sebaliknya bermula secara kebetulan semasa menuntut di Hong Kong University of Science and Technology.
“Waktu itu hanya ingin mencuba sukan baharu, tapi bila mengenali nilai ragbi iaitu disiplin, persahabatan dan saling menghormati, saya jatuh cinta pada semangatnya,” katanya dalam program Siapa Tahu? terbitan Media Selangor, baru-baru ini.
Pernah cedera ligamen dan tulang pipi ketika bermain, pengalaman itu tidak mematahkan semangatnya sebaliknya, ia membentuk kekuatan dalaman dan disiplin yang menjadi prinsip hidupnya hingga kini.
“Sebagai wakil rakyat dan presiden, saya perlu amanah dan telus. Kami pastikan tadbir urus kewangan yang baik serta hubungan rapat dengan Kerajaan Negeri untuk memperkukuh komuniti sukan,” katanya.

Hong Kong ke DUN
Penolong Setiausaha Publisiti sayap Wanita DAP itu pernah bekerja dalam bidang kewangan antarabangsa sebelum mengambil keputusan besar meninggalkan kerjaya stabil di luar negara.
“Saya tanya diri sendiri, ‘Apa saya buat di sini?’ Bila Lim Guan Eng datang beri ceramah di Hong Kong, saya tanya beliau, masih ada harapan untuk Malaysia? Beliau jawab, bagaimana kita nak tahu kalau kita tidak balik,” kongsinya.
Kisah itu antara sebab Yi Wei nekad kembali ke tanah air pada 2015 untuk menyertai politik, selain turut terinspirasi dengan semangat Umbrella Movement yang memperjuangkan suara anak muda di Hong Kong.
“Saya nekad pulang kerana percaya perubahan hanya boleh berlaku kalau kita sendiri terlibat. Kalau anak muda tak berani melangkah, siapa lagi?” ujarnya.
Beliau bermula sebagai setiausaha politik kepada Tony Pua, sebelum dilantik sebagai Ahli Majlis dan seterusnya menjadi ADN Kampung Tunku pada usia 28 tahun.
Keputusan itu katanya, bukan mudah tetapi satu langkah berani untuk berbakti kepada negara.

Kesihatan mental
Selain dunia sukan dan politik, Yi Wei turut memperjuangkan isu kesihatan mental dan kebajikan sosial sebagai sebahagian daripada agenda kesejahteraan rakyat di Selangor.
“Kesihatan mental ini satu spektrum. Dalam hidup pasti ada turun naik, jadi penting untuk kita bina sistem sokongan agar rakyat tidak berasa terasing,” katanya.
Beliau antara pemimpin yang menyokong dasar nyahjenayah percubaan bunuh diri, menyeru supaya akses kepada rawatan dan kesedaran awam diperluas agar isu kesihatan mental tidak terus menjadi stigma.
Dalam masa sama, Yi Wei memberi tumpuan terhadap kebajikan warga emas di kawasan bandar yang semakin terkesan, khususnya di Selangor yang sedang menuju status negeri menua.
“Ramai warga emas bujang hidup sendirian tanpa simpanan. Bila sakit, hidup makin sempit. Kita boleh bantu mohon bantuan kerajaan, tapi kehidupan bulan ke bulan memang mencabar,” katanya.
Beliau menegaskan pentingnya literasi kewangan dan jaringan komuniti yang lebih kukuh supaya golongan berusia tidak tersisih.
“Sakit dan kemiskinan boleh datang tiba-tiba. Sebab itu dasar sosial dan kesihatan mental perlu bergerak seiring,” katanya.

Tidak kekal
Bagi Yi Wei, dunia sukan dan politik mungkin berbeza wajah, tetapi keduanya menuntut nilai yang sama iaitu integriti, kejujuran dan semangat melahirkan pelapis baharu.
“Seorang pemimpin sejati harus cukup rendah diri untuk tahu dia tak boleh duduk di satu kerusi selamanya. Kalau saya boleh melahirkan 10 atau 20 pemimpin muda, tugas saya sudah selesai,” katanya, tenang tetapi penuh makna.
Beliau percaya kepimpinan bukan tentang kekal di atas, tetapi tentang memberi peluang kepada generasi baharu untuk bangkit dan meneruskan perjuangan.
Justeru, Yi Wei juga menyeru lebih ramai wanita dan anak muda berani menyertai politik, agar suara segar dan idea baharu terus menghidupkan demokrasi negara.
“Jangan tunggu orang lain buka jalan. Kadang-kadang kita sendiri kena jadi orang pertama yang melangkah,” ujarnya.
Walaupun sering dipandang remeh kerana tubuh kecil dan usia muda, Yi Wei telah membuktikan bahawa keberanian dan keikhlasan mampu menembusi batas yang ditentukan persepsi.
Dari padang ragbi ke gelanggang politik, beliau membawa semangat yang sama iaitu disiplin, empati dan keazaman membina masa depan yang lebih baik untuk semua.
“Saya mahu dikenang sebagai seseorang yang berjiwa pembaharuan,” katanya.




