ad

Dijanjikan gaji lumayan, pembakar sate terperangkap sindiket scammer di Kemboja

27 Okt 2025, 8:15 AM
Dijanjikan gaji lumayan, pembakar sate terperangkap sindiket scammer di Kemboja

SHAH ALAM, 27 OKT: Hasrat seorang lelaki dari Johor Bahru mencari rezeki di luar negara bertukar mimpi ngeri apabila diperdaya sindiket pemerdagangan manusia dan dipaksa bekerja sebagai scammer di Sihanoukville, Kemboja.

Mangsa, yang mahu dikenali sebagai Joe, 36, menjadi tahanan sindiket itu selama empat bulan sebelum berjaya diselamatkan pada Ogos lalu melalui usaha Wisma Putra dan Kementerian Luar Negeri, lapor Sinar Harian.

Difahamkan, beliau antara lima rakyat Malaysia yang dibawa pulang daripada cengkaman sindiket penipuan dalam talian di negara berkenaan.

Ketika ditemui di Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Skudai, Joe berkata kehidupannya mula berubah selepas menerima tawaran kerja daripada seorang rakan sebagai pembakar sate di Kemboja dengan gaji mencecah AS$1,500 sebulan (sekitar RM6,300).

Dia yang bekerja sebagai pembakar sate di Johor Bahru tertarik dengan tawaran tersebut selepas mendengar cerita kononnya rakan lain mampu membeli kereta mewah hasil kerja di sana.

Pada 5 April lalu, iaitu hari raya keenam, Joe berangkat ke Kemboja dengan tiket penerbangan dan wang tunai RM2,000 yang ditanggung rakannya.

Namun sebaik tiba, segalanya tidak seperti dijanjikan. Joe dibawa ke sebuah hotel mewah dan diberi minuman sebelum dibawa ke markas kumpulan scammer dalam keadaan khayal.

Di pusat tersebut yang dilengkapi kemudahan asrama dan peralatan teknologi, dia dipaksa bekerja 14 jam sehari membuat panggilan palsu dengan menyamar sebagai pegawai polis dan pegawai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).

"Saya dipaksa bekerja sebagai scammer bekerja 14 jam sehari, diberi makan lauk babi, jika lambat buat kerja akan diseksa dengan renjatan elektrik."

"Saya perlu capai sasaran iaitu RM50,000 hingga RM100,000 sebulan, jika tidak akan diseksa dan dikurung di dalam bilik tanpa makanan cuma diberikan sebotal air," katanya.

Joe turut menceritakan suasana di pusat itu yang menempatkan lebih 40 rakyat Malaysia selain warga asing dari Rusia, Brazil dan negara Arab. Lelaki dan wanita bercampur bebas, sementara makanan dan minuman yang disediakan tidak halal.

Keadaan itu mendorong Joe dan empat lagi rakyat Malaysia mencari jalan melarikan diri. Peluang muncul apabila sindiket memaklumkan mereka akan dipindahkan ke sempadan Laos untuk dijadikan buruh paksa atau pengemis.

“Ketika itu kami diberi dua telefon bimbit. Dari situlah kami berjaya menghubungi ADUN Skudai, Marina Ibrahim, untuk meminta bantuan,” katanya.

Berbekalkan keberanian dan nasib baik, mereka akhirnya diselamatkan dan selamat tiba di tanah air pada 16 Ogos lalu.

Joe mengakui trauma dengan kejadian itu masih menghantui dirinya, namun bersyukur dapat kembali ke pangkuan keluarga.

“Sepanjang menunggu diselamatkan, saya hanya fikir antara hidup dan mati. Tak tahu mana yang akan datang dulu bantuan atau maut,” katanya perlahan.