SHAH ALAM, 27 OKT: Mahkamah Majistret Kuala Terengganu menjatuhkan denda RM3,500 terhadap pemilik lori yang tular membakar kenderaannya bagi mengelak disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) minggu lalu.
Mohamad Aimullah Che Ambok, 31, mengaku bersalah atas pertuduhan menghalang tugas penjawat awam di depan Majistret Noor Mazrinie Mahmood, lapor Berita Harian.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa dengan sengaja menghalang penjawat awam yang juga pegawai JPJ daripada menjalankan tugas di hadapan Sekolah Kebangsaan Padang Air, Jalan Tepoh, kira-kira jam 1.30 petang 22 Oktober lalu.
Bagi kesalahan itu, Mohamad Aimullah didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya sekali.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM3,500 terhadap tertuduh dan memerintahkan hukuman penjara lima bulan sekiranya tertuduh gagal membayar denda.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nur Anith Nabilah Rusli manakala tertuduh diwakili peguam, Abdul Hayyi Salim.
Terdahulu, pada 22 Oktober lalu media melaporkan tindakan pemilik sebuah lori membakar kenderaan miliknya selepas kenderaan terbabit dikenakan tindakan sita oleh JPJ di lokasi kejadian.


