SHAH ALAM, 27 OKT: Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) menyita beberapa gerai dan barangan penjaja yang beroperasi tanpa lesen di luar Litar Antarabangsa Sepang (SIC) sempena penganjuran MotoGP 2025, baru-baru ini.
Menurut kenyataan MP Sepang, tindakan itu hasil operasi penguatkuasaan oleh Unit Penjaja Zon Tengah, Jabatan Penguatkuasaan MP Sepang yang dijalankan sejak awal pagi di kawasan luar perkarangan SIC.
“Operasi tertumpu kepada penjaja dan peniaga yang berniaga tanpa lesen atau permit sah di luar kawasan dibenarkan semasa penganjuran MotoGP,” katanya menerusi Facebook.
Menurut MPSepang, tindakan sitaan dilakukan mengikut Peruntukan 3, Undang-Undang Kecil Penjaja (Majlis Perbandaran Sepang) 2007 yang memperuntukkan kesalahan menjaja tanpa lesen.
MP Sepang turut menasihatkan penjaja supaya mematuhi peraturan sedia ada dan memohon permit sah sebelum berniaga, khususnya ketika acara besar seperti MotoGP bagi mengelak tindakan undang-undang.


