SHAH ALAM, 26 OKT: Dato’ Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari, hari ini meluangkan masa menyaksikan perlumbaan PETRONAS MotoGP Malaysia 2025 yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).
Amirudin berkata, beliau amat teruja untuk menonton aksi pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli, walaupun terpaksa menarik diri pada saat akhir akibat masalah teknikal.
“Walau apa pun, semangat juang dan keberanian beliau wajar dijadikan inspirasi buat anak muda untuk terus melangkah jauh dalam arena sukan permotoran,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, serta Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook bagi memberi sokongan kepada penganjuran acara sukan berprestij dunia itu.
Menurut beliau, Kerajaan Negeri komited menyokong pembangunan sukan permotoran sebagai platform melahirkan bakat baharu serta mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa.

MotoGP Malaysia 2025 menarik penyertaan pelumba ternama dunia, sekali gus mengukuhkan kedudukan negara, khususnya Selangor sebagai hab sukan permotoran utama rantau ini.
Terdahulu, Hakim Danish yang juga pelumba wildcard Moto3 negara menganggap penyertaan sulungnya di pentas berprestij itu sebagai pengalaman berharga biarpun terpaksa menamatkan saingan lebih awal akibat masalah teknikal.
Pelumba berusia 18 tahun itu berdepan isu jentera ketika saingan berbaki lima pusingan, sedangkan ketika itu dirinya bersaing sengit dalam kelompok 10 terbaik di hadapan ribuan penyokong tempatan yang hadir memberi sokongan.
Katanya, jentera ditungganginya tiba-tiba 'mati' di selekoh pertama sekali gus memaksa dirinya mengundurkan diri daripada perlumbaan.






