KUALA LUMPUR, 26 OKT: Malaysia meminta Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump supaya terus berpegang teguh pada komitmen dalam memperjuangkan usaha keamanan di wilayah bergolak di seluruh dunia, termasuk di Semenanjung Gaza.
Sambil mengiktiraf usaha Trump dalam menggalakkan keamanan, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menekankan bahawa pemimpin AS itu perlu terus fokus dan berusaha ke arah mencapai keamanan menyeluruh dan berkekalan seperti diharapkan oleh masyarakat antarabangsa.
“Saya benar-benar gembira Tuan Presiden, apabila mendengar sendiri daripada anda betapa tekadnya anda untuk memastikan keamanan dicapai di kawasan paling sukar diatasi, hampir mustahil, tetapi anda berjaya lakukannya.
“Dan kami telah menunjukkan sokongan dan menyeru AS, terutamanya untuk meneruskan usaha ini dengan sokongan ramai, bukan hanya negara jiran, tetapi juga seluruh dunia,” kata beliau di sini hari ini.
Anwar berkata demikian selepas menyertai Trump menyaksikan Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul dan Perdana Menteri Kemboja Hun Manet menandatangani Perjanjian Damai KL di luar acara Sidang Kemuncak Asean ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan yang bermula hari ini.
Perdana Menteri berkata beliau juga mengambil peluang untuk membincangkan pelbagai isu dengan Trump, selepas menerima pelawaan pemimpin Amerika itu untuk bersama-sama menaiki kenderaan rasmi presiden, “The Beast”.
“Apabila Presiden tiba, beliau meminta saya menaiki kereta bersamanya, saya kata perkara itu bertentangan dengan peraturan keselamatan. Namun, beliau dengan senang hati melanggar peraturan itu … ia perjalanan yang menyenangkan.
“Saya juga mesti berkongsi dengan anda bahawa saya mengambil peluang itu, peluang sepenuhnya, tanpa pengetahuan Setiausaha (Negara AS Marco) Rubio, untuk membincangkan isu-isu lain juga,” kata Anwar.
Trump tiba di Malaysia pagi tadi untuk menghadiri Sidang Kemuncak Asean-AS ke-13 dan Sidang Kemuncak Asia Timur ke-20 bersempena dengan Sidang Kemuncak Asean ke-47 di ibu negara, sekali gus menandakan lawatan pertama Presiden AS ke negara ini dalam tempoh sedekad dan kunjungan Trump buat julung-julung kalinya ke Malaysia.
Sidang Kemuncak Asean ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan bermula dari hari ini dan dijangka berakhir pada 28 Okt dengan beberapa deklarasi bersama akan menggariskan keutamaan rantau ini terhadap keamanan, kemakmuran dan pertumbuhan mampan.
Sidang kemuncak ini adalah yang terakhir dianjurkan Malaysia selaku Pengerusi Asean 2025 sebelum menyerahkan kepengerusian kepada Filipina.






