ad

Isu tuntutan upah jahit uniform, Bukit Aman jamin percepat proses bayaran

26 Okt 2025, 7:26 AM
Isu tuntutan upah jahit uniform, Bukit Aman jamin percepat proses bayaran

KUALA LUMPUR, 26 OKT: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang mengambil langkah terbaik untuk mempercepat proses pembayaran tuntutan upah jahit pakaian seragam pegawai dan anggota.

Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi (JLog) Bukit Aman Gilberd Philip Layang berkata PDRM memahami keresahan warga pasukan berhubung perkara itu dan usaha sedang dilakukan bersama-sama Kementerian Dalam Negeri (KDN) serta agensi pusat berkaitan.

“PDRM memberi jaminan kebajikan warga pasukan sentiasa menjadi keutamaan. Usaha penyelarasan sedang giat dijalankan agar semua tuntutan dapat diselesaikan dalam tempoh terdekat berdasarkan tatacara kewangan dan perolehan sedang berkuat kuasa.

“PDRM kekal komited untuk memastikan setiap kebajikan pegawai dan anggota terus dipelihara selaras dengan prinsip kesejahteraan perkhidmatan awam serta semangat MADANI,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Gilberd meminta semua pihak bertenang dan memberi ruang kepada proses pentadbiran yang sedang dijalankan.

Beliau berkata perkara itu tidak menjejaskan kesiapsiagaan dan tanggungjawab utama pasukan dalam memastikan keselamatan negara sentiasa terpelihara khususnya menjelang pelaksanaan pelbagai acara antarabangsa sepanjang 2025.

-- BERNAMA