ad

Pengukir Mahmeri terus semarak warisan seni topeng, patung kayu

26 Okt 2025, 3:00 AM
Pengukir Mahmeri terus semarak warisan seni topeng, patung kayu
Pengukir Mahmeri terus semarak warisan seni topeng, patung kayu

KUALA LANGAT, 26 OKT: Demonstrasi penghasilan topeng dan patung kayu oleh pengukir terkenal masyarakat Mahmeri, Kemi Khamis, 56, menjadi tarikan utama pada Budaya@Komuniti: Pasar Mui Mahmeri 2025 yang berlangsung selama dua hari di Pusat Kraf Kampung Orang Asli, Pulau Carey.

Seni ukiran kayu tradisional Mahmeri itu terus dipelihara Kemi, yang berasal dari Kampung Sungai Bumbun. Beliau dikenali sebagai antara pengukir berpengalaman yang gigih mempertahankan warisan nenek moyangnya.

Menurut Kemi, beliau mula menceburi bidang ukiran sejak berusia 19 tahun, mewarisi kemahiran tersebut daripada bapanya, Khamis anak Othman, yang juga antara pengukir terawal di kampung berkenaan.

“Saya belajar daripada ayah, kemudian tambah ilmu daripada pak cik dan abang. Sekarang saya teruskan supaya warisan ini tidak hilang,” katanya ketika ditemui pada program berkenaan.

Beliau menjelaskan setiap topeng Mahmeri mempunyai makna tersendiri dan berkait rapat dengan kepercayaan tradisi masyarakat Orang Asli yang diwarisi turun-temurun. “Topeng ini diilhamkan daripada kisah dua penjaga alam, Tok Nania dan Tok Pongkola, yang memakai topeng dalam upacara keraian tahunan,” katanya.

Antara ukiran popularnya termasuk moyang pot, moyang kelom, moyang happit, moyang puting beliung, moyang bidai dan moyang tembakul, dijual pada harga antara RM1,200 hingga RM1,500 bergantung pada saiz serta kerumitan reka bentuk.

Selain menjadikan ukiran sebagai sumber pendapatan sampingan, Kemi turut bekerja sebagai nelayan dan membantu memetik kelapa sawit. Namun, beliau bertekad untuk terus menghasilkan karya baharu agar generasi muda menghargai serta meneruskan seni warisan Mahmeri.