ad

Semua PBT perlu tonjol identiti Selangor sebagai tarikan pelancongan

26 Okt 2025, 12:30 AM
Semua PBT perlu tonjol identiti Selangor sebagai tarikan pelancongan

KUALA LANGAT, 26 OKT: Kerajaan Selangor mengarahkan semua 12 pihak berkuasa tempatan (PBT) menonjolkan identiti negeri seperti makanan, muzik, pakaian dan seni sebagai tarikan pelancongan domestik.

EXCO Kebudayaan Datuk Borhan Aman Shah berkata arahan itu selaras keputusan Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) supaya setiap agensi menampilkan keunikan warisan dan budaya tempatan ketika menerima kunjungan pelancong.

“Selangor kaya dengan identiti tersendiri seperti tarian ronggeng, makanan tradisi punten, nasi ambeng, sate Kajang serta muzik Mahmeri dan cempuling,” katanya ketika merasmikan Budaya@Komuniti: Pasar Mui Mahmeri 2025 di Pusat Kraf Kampung Orang Asli, semalam.

Beliau berkata langkah itu dapat memupuk kebanggaan terhadap identiti negeri serta menjana ekonomi setempat melalui promosi produk tempatan.

Borhan turut memaklumkan rancangan menganjurkan pertandingan Battle of the Band Orang Asli peringkat kebangsaan tahun depan dengan kerjasama RTM yang bakal disiarkan secara langsung.