KUALA LANGAT, 25 OKT: Program Budaya@Komuniti ‘Pasar Mui Mahmeri 2025’ di Pulau Carey di sini menjadi platform mempamerkan seni, kraftangan dan produk komuniti Mahmeri sambil mempromosikan identiti budaya dan menjana ekonomi setempat.
EXCO Kebudayaan Dato' Borhan Aman Shah berkata, program dua hari yang diadakan di Pusat Kraf Kampung Orang Asli itu bertujuan memelihara, memulihara dan menyemarakkan aktiviti seni budaya pelbagai komuniti serta suku kaum di negeri ini.
“Pada program kali ini, kita berjaya menghimpunkan 11 komuniti Mahmeri dari seluruh negeri, antaranya Kampung Orang Asli Sungai Bumbun, Kampung Orang Asli Sungai Judah dan Kampung Orang Asli Kepau Laut.
"Ia turut menjana ekonomi setempat melalui produk kreatif seperti ukiran kayu, anyaman, hasil laut, hasil tani serta jamuan ubi kayu rebus percuma. Persembahan dan kostum tradisional Mahmeri turut mengangkat seni budaya tradisi bernilai tinggi yang menjadi kebanggan kita,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian program itu, hari ini.
Borhan turut mencadangkan agar program anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) itu dapat diteruskan secara mingguan atau bulanan bagi memastikan kesinambungan aktiviti di peringkat komuniti.

“Insya-Allah, selepas kejayaan di Kuala Langat, kita akan memperluas program ke daerah lain, termasuk Gombak dan Hulu Selangor agar semangat penyemarakkan seni budaya ini dapat dinikmati seluruh rakyat negeri ini,” ujarnya.
Antara pengisian menarik program ini ialah pertandingan sukan tradisional, Mahmeri Fun Run, pertandingan bola jaring berkain batik, futsal Mahmeri, tarian sewang, gasing Mahmeri serta pertandingan mewarna.
Program ini turut memperkenalkan warisan Mahmeri kepada masyarakat luar, memperkukuh jaringan komuniti, pelancong dan industri kreatif, sekali gus menonjolkan peranan seni budaya dalam pembangunan sosial dan ekonomi setempat.






