SHAH ALAM, 25 OKT: Dunia seni dan budaya bukan sekadar ruang ekspresi, tetapi cerminan jiwa masyarakat yang kreatif dan seimbang, kata EXCO Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat.
Menurut Anfaal Saari, pameran solo artis muda Jemimah Saiful bertajuk “Dreamscapes: Musings of a Soul” dan “Art Journaling 40450” menunjukkan potensi besar golongan muda dalam memperluas ruang seni dan budaya yang menjadi nadi kepada pembangunan masyarakat.
“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Jemimah dan pihak UiTM atas penganjuran ini. Seni dan budaya tidak boleh dipisahkan daripada pembangunan negara kerana ia membentuk jiwa masyarakat yang kreatif, reflektif dan seimbang,” katanya.
Beliau berkata ketika merasmikan pameran hasil kerjasama Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Artjamila Gallery and Museum di sini, hari ini.
Anfaal menambah, penglibatan institusi pendidikan dalam memperkasa bakat muda membuktikan seni bukan hanya untuk golongan elit, tetapi milik semua lapisan masyarakat.
“Setiap karya yang dihasilkan bukan sekadar lukisan, tetapi manifestasi jiwa dan emosi manusia. Ia mengajak kita berfikir, berasa dan menghargai keindahan dalam pelbagai bentuk,” ujarnya.
Sementara itu, Pensyarah Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka UiTM, Prof Madya Dr Mumtaz Mokhtar menjelaskan pameran tersebut memperkenalkan genre seni Art Journaling iaitu rakaman visual dan emosi yang menggabungkan tulisan, imej, warna serta kolaj sebagai ekspresi diri.
“Art journaling ini bersifat terapeutik. Ia bukan sekadar hasil seni, tetapi satu cara untuk memproses emosi dan mendokumentasikan pengalaman hidup dengan indah serta peribadi,” katanya.
Beliau menambah, pendekatan ini menjadikan seni lebih inklusif kerana boleh diceburi semua lapisan masyarakat, daripada pelajar hingga suri rumah tanpa perlu latar belakang seni formal.
“Seni seperti ini milik semua. Jemimah berjaya menggabungkan dunia sastera dan seni visual berkomunikasi melalui puisi dan lukisan dalam satu ruang puitis yang moden,” ujarnya.
Bagi Jemimah sendiri, pameran Dreamscapes ialah refleksi peribadi tentang cara manusia memahami dunia dan dirinya.
“Saya mahu mencipta ruang untuk renungan agar setiap orang yang melihat karya saya terdorong berfikir, menulis atau menghasilkan seni mereka sendiri.
"Seni bagi saya ialah ruang untuk berfikir dan merasa,” katanya.
Pameran “Dreamscapes: Musings of a Soul” dan “Art Journaling 40450” menampilkan siri karya yang menggabungkan lukisan, puisi dan elemen jurnal seni, menggambarkan keseimbangan antara realiti dan dunia mimpi.
Setiap karya membawa naratif tersendiri mencerminkan tentang perasan, kenangan dan perjalanan dalaman artis yang diolah dalam bentuk visual puitis.
Program ini turut menjadi platform memperkukuh jaringan seni antara institusi pendidikan, komuniti dan industri kreatif, seiring hasrat menjadikan Selangor sebagai hab seni dan budaya progresif.






