ad

Remaja makin terasing, hilang ruang selamat jadi diri sendiri

27 Okt 2025, 1:00 AM
Remaja makin terasing, hilang ruang selamat jadi diri sendiri

SHAH ALAM, 27 Okt: Kerapuhan hubungan antara manusia menyebabkan remaja masa kini kurang ruang selamat menjadi diri sendiri dan cenderung memiliki 'sahabat' maya, kata aktivis kanak-kanak.

Menurut Alina Amir, situasi berkenaan menyebabkan golongan itu terasing dalam dunia sendiri dan terdedah kepada tekanan emosi untuk sentiasa tampil sempurna dalam platform media sosial.

Jelasnya, keadaan itu turut mewujudkan jurang besar antara realiti hidup dengan imej yang dipaparkan, menyebabkan mereka sentiasa bergelut dengan keresahan dan perasaan tidak cukup baik.

“Dari segi sosial, mereka mungkin ramai kawan dalam talian tetapi realiti kurang hubungan bermakna. Jadi, mereka kurang ruang selamat untuk menjadi diri sendiri atau menunjukkan kelemahan tanpa dihakimi,” katanya kepada Media Selangor.

Semakin ramai kanak-kanak menjadikan gajet sebagai ‘kawan baik’, hingga meminggirkan dunia sebenar dan interaksi sosial. Foto NABIHAH HAMID/MEDIA SELANGOR

Alina yang juga pengasas Arus Academy mencadangkan kawasan kejiranan mewujudkan aktiviti antara golongan dewasa dan remaja bagi membina lebih banyak ruang kepercayaan selain ibu bapa dan guru.

Di peringkat sekolah pula, katanya, bulatan komuniti boleh diwujudkan dengan membina ruang santai antara ibu bapa, guru dan pentadbir berkumpul untuk berkongsi pandangan.

“Apabila saling mengenali dan percaya, lebih mudah kita bekerjasama jika ada masalah. Badan bukan kerajaan juga berfungsi sebagai jambatan dan pemangkin perubahan, hubungkan sekolah dan komuniti.

“Mereka boleh bawa masuk kepakaran dan program yang mungkin tiada dalam sistem formal, contohnya bengkel kemahiran emosi dan sosial, atau program seni untuk membantu anak-anak meluahkan perasaan dengan lebih sihat,” katanya lagi.

Media sebelum ini melaporkan beberapa insiden jenayah melibatkan pelajar sekolah yang semakin berleluasa termasuk buli, rogol dan bunuh di beberapa negeri mutakhir ini.

Kes terbaharu melibatkan seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun yang maut ditikam berulang kali oleh pelajar lelaki 14 tahun di tandas sebuah sekolah di Bandar Utama.

Sebelum itu, negara digemparkan dengan kes rakaman dan rogol bergilir-gilir pelajar tingkatan tiga oleh empat pelajar senior di sebuah sekolah menengah di Alor Gajah, Melaka.