SHAH ALAM, 27 OKT: Kesan media sosial mengubah cara pelajar masa kini memandang realiti, yang bukan hanya mempengaruhi pembentukan identiti, malah mewujudkan budaya perbandingan berterusan.
Pensyarah kanan psikologi klinikal Universiti Teknologi Mara berkata tekanan untuk mendapat perhatian dalam talian turut mempengaruhi kesihatan mental pelajar, termasuk kemurungan.
Menurut Dr Siti Aminah Omar, golongan itu juga terdedah kepada sindrom takut ketinggalan atau FOMO (fear of missing out) berikutan fikiran mereka sentiasa dirangsang aktiviti digital.
"Ini bukan sahaja mengurangkan kemahiran komunikasi bersemuka, malah mewujudkan kebergantungan kepada ganjaran segera seperti tanda suka (likes) dan komen,” katanya kepada Media Selangor.

Jelasnya, permainan video dan bahan tidak senonoh turut memberi kesan berbeza antaranya risiko terdedah kepada keganasan dan memesongkan fahaman berkenaan hubungan sihat dan intim.
“Bahan lucah misalnya boleh mencipta jangkaan tidak realistik tentang seksualiti dan membawa kepada objektifikasi (melayan atau menilai seseorang seperti objek) dan mengurangkan empati.
"Permainan video berlebihan pula boleh menjadi mekanisme daya tindak atau penyesuaian diri (coping mechanism) tidak sihat," katanya menambah ia perlu ditangani secara menyeluruh oleh semua pihak.
Untuk konteks, kajian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melibatkan 280,000 remaja dan kanak-kanak di seluruh Eropah, Asia Tengah dan Kanada, turut mendedahkan peningkatan risiko berkaitan tabiat penggunaan media sosial dalam kalangan remaja, dengan 11% remaja dilaporkan berdepan masalah kawalan pengunaan media sosial.
Kajian terdahulu juga membangkitkan kebimbangan tentang isu kesejahteraan sosial dan mental dalam kalangan remaja disebabkan penggunaan tidak terkawal media sosial.
Justeru, Dr Siti Aminah menggesa konsep celik digital dijadikan keutamaan dalam pendidikan, di samping menyediakan ruang sokongan emosi yang selamat untuk pelajar.
Beliau juga mencadangkan pelajar menetapkan batas sihat dengan teknologi, selain mencari bantuan profesional jika mendapati tekanan digital mula menjejaskan kesejahteraan diri.
“Tiada satu pihak harus dipersalahkan, yang penting bagaimana kita sebagai ibu bapa, guru dan masyarakat bersedia untuk belajar, beradaptasi dan memberi bimbingan yang seimbang,” katanya.
Sebelum ini, polis mengesahkan wujud kemungkinan pengaruh media sosial dan permainan video yang mendorong seorang pelajar lelaki menikam sehingga mati seorang pelajar perempuan di sebuah sekolah di Bandar Utama, Petaling Jaya pada 14 Oktober lalu.
Beberapa ahli Parlimen pada persidangan Dewan Rakyat turut menyokong pengenalan had umur kepada penggunaan media sosial bagi membendung kesan negatif terhadap perkembangan mental dan sosial kanak-kanak.




