SHAH ALAM, 24 OKT: Lima ekor lembu berkeliaran di sekitar Jalan Persiaran Banting Baru yang mengganggu ketenteraman awam ditangkap Jabatan Penguatkuasaan Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) dalam operasi di Taman Banting Baru, baru-baru ini.
MPKL berkata, tindakan itu bagi menjamin keselamatan pengguna jalan raya serta mengelakkan kejadian tidak diingini akibat haiwan ternakan berkeliaran.
“Operasi disertai 10 anggota penguat kuasa ini dijalankan hasil aduan orang awam berhubung lembu yang membahayakan pengguna jalan raya dan mengganggu ketenteraman,” jelasnya menerusi Facebook.
Tindakan diambil mengikut Seksyen 5(1) Enakmen Mengawal Lembu-Kerbau MDKL 1971 kerana membiarkan haiwan berkeliaran di kawasan larangan, manakala sitaan dibuat di bawah Seksyen 4(1)(a) enakmen sama.
MPKL turut menasihati penternak mematuhi peraturan ditetapkan bagi memastikan keselamatan dan kebersihan kawasan perbandaran terpelihara.






