SHAH ALAM, 25 OKT: Yayasan Insan Istimewa Selangor (YANIS) berharap Belanjawan Selangor 2026 memberi tumpuan terhadap pembangunan kapasiti teknologi bantuan bagi memperkasa komuniti orang kurang upaya (OKU) di negeri ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ar. Kamarul Hisham berkata, teknologi bantuan penting untuk menjadikan OKU bukan sekadar penerima manfaat, sebaliknya penyumbang aktif kepada ekonomi dan masyarakat.
“Dengan sokongan Kerajaan Negeri, kita mahu komuniti OKU dilihat sebagai sebahagian daripada penyumbang dalam ekosistem pembangunan negeri.
“Pembangunan teknologi bantuan berpotensi membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan inovasi baharu,” katanya ketika ditemui pada Sidang Kemuncak Antarabangsa mengenai Masa Hadapan Inklusif OKU (ISDIF) di Aeon Shah Alam, semalam.
Beliau mencadangkan supaya peruntukan khas disalurkan bagi penyelidikan dan pembangunan (R&D) berkaitan inovasi sosial serta teknologi bantuan untuk memastikan pendekatan yang lebih mampan dan berimpak tinggi dapat dilaksanakan.
Dalam masa sama, Kamarul menegaskan peranan komuniti tempatan penting sebagai rakan pelaksana dasar kerajaan negeri dalam mewujudkan masyarakat inklusif.
Beliau turut menggalakkan penglibatan aktif syarikat swasta melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi memperkukuh ekosistem mesra OKU di Selangor.
“Sokongan semua pihak termasuk sektor korporat dan masyarakat umum amat penting.
“Apabila semua memainkan peranan, kita dapat membentuk persekitaran yang benar-benar mesra OKU dan inklusif,” katanya.


