KUALA LUMPUR, 24 OKT: Seorang penganggur mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mencederakan anak perempuannya berusia 10 tahun dengan sebilah parang, dua hari lepas.
Bagaimanapun, Hakim Dr Azrol Abdullah menetapkan 29 Okt ini untuk fakta kes dan jatuh hukum bagi kes berkenaan.
K. Vejesh, 49, didakwa dengan sengaja mencederakan anak kandungnya di sebuah unit pangsapuri di Setapak, Wangsa Maju di sini pada 1.30 pagi, 22 Okt lepas.
Lelaki itu didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 326A kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.
Bagi Seksyen 326A Kanun Keseksaan pula, tertuduh berdepan hukuman penjara dua kali ganda tempoh maksimum yang mana tertuduh boleh dikenakan atas sabitan bagi kesalahan itu.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Shakila Mohd Shariff, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
-- BERNAMA




