SHAH ALAM, 25 OKT: Usaha memperkasa komuniti orang kurang upaya (OKU) di Selangor diperkukuh melalui kerjasama antara Yayasan Insan Istimewa Selangor (YANIS) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM).
Kerjasama itu dimeterai sempena Sidang Kemuncak Antarabangsa mengenai Masa Hadapan Inklusif OKU (ISDIF) yang menjadi platform perkongsian dasar dan amalan terbaik di peringkat global.
Ketua Pegawai Eksekutif YANIS, AR Kamarul Hisham berkata, penyertaan dalam ISDIF 2025 merupakan langkah strategik memperkukuh jaringan antarabangsa dalam dasar, inovasi dan pembangunan komuniti OKU.
“Program seperti ini bukan sekadar wacana akademik tetapi ruang membentuk polisi lebih inklusif dan mampan,” katanya ketika ditemui pada Sidang Kemuncak Antarabangsa mengenai Masa Hadapan Inklusif OKU (ISDIF) di Aeon Shah Alam, semalam.
Beliau berkata, ISDIF turut membincangkan pendekatan whole of society yang menekankan kerjasama kerajaan negeri, sektor swasta dan masyarakat sivil.
Menurutnya, YANIS bersama UiTM akan melaksana program latihan dan akademik mesra OKU bagi memperluas peluang pekerjaan serta memperkukuh dasar negeri.
“Sekurang-kurangnya 1,000 individu OKU di Selangor disasar mendapat manfaat menjelang 2026,” katanya.
Beliau menegaskan kepimpinan dalam kalangan OKU sendiri penting agar mereka mampu menjadi suara dan agen perubahan dalam komuniti.
“Tiada siapa harus tertinggal. Kami mahu Selangor menjadi negeri contoh dalam pelaksanaan dasar inklusif,” katanya.




