Seawal usia empat tahun, ketika kanak-kanak lain berlarian di taman permainan bersama basikal, Farres Putra menunggang 'pocket bike'.
Langkah kecil itu menjadi permulaan perjalanan luar biasa anak kecil yang kini mengharumkan nama Selangor di pentas Asia.
Dari litar kecil MiniGP hingga ke gelanggang besar Malaysia Cub Prix, Farres membesar dengan deruan enjin dan semangat yang tidak pernah padam.
Pada usia 17 tahun, Farres bukan sekadar nama pada peringkat tempatan. Beliau antara pelumba muda yang membawa panji negara dalam Kejuaraan Perlumbaan Motosikal Asia (ARRC).
“Saya bermula dalam bidang permotoran ini sejak berusia empat tahun dengan menunggang 'pocket bike' dan terus membesar dengan motosikal MiniGP pada usia 13 tahun.
“Tahun ini saya menyertai kategori Kejohanan Wira Cup Prix di usia 17 tahun,” katanya dalam wawancara bersama Media Selangor.

Dari MiniGP ke Litar Asia
Ketika ini, Farres bersaing dalam kategori Wira Cup Prix dan menyertai ARRC bawah pasukan tempatan yang memberi peluang kepada pelumba muda negara mengasah bakat di peringkat antarabangsa.
Antara pencapaian membanggakan termasuk juara keseluruhan FIM MiniGP Malaysia 2021 serta menaiki podium beberapa siri perlumbaan di rantau Asia.
Deretan kemenangan menjadikan beliau antara wajah muda yang mula mencuri perhatian di arena permotoran profesional. Namun setiap kemenangan datang dengan harga yang besar. Di sebalik topi keledar dan sut perlumbaannya, tersembunyi kisah disiplin dan dugaan.
Bagi anak kelahiran Selangor ini, cabaran sebenar bukan sekadar menakluk selekoh tajam di litar, tetapi mencari keseimbangan antara dunia pelajaran dan dunia sukan.
Dengan ibu yang sentiasa menitikberatkan pelajaran, Farres tetap memastikan akademik tidak diketepi walaupun sibuk latihan dan perlumbaan.
“Alhamdulillah, ibu saya adalah orang yang sangat berpendidikan, jadi beliau tekankan tuisyen di rumah supaya saya tidak ketinggalan pelajaran. Ilmu tetap nombor satu walau sejauh mana saya pergi,” tambahnya.
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 24 (2), Shah Alam itu kini dalam persiapan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia, sambil meneruskan latihan intensif menjelang musim perlumbaan seterusnya.

Luka, jatuh dan bangkit
Walaupun berjaya menyeimbang di antara pelajaran dan dunia sukan, perjalanan Farres tidak mudah.
Pernah satu ketika, dia terjatuh di litar Thailand hingga mengalami koma selama tiga hari dan patah tulang selangka. Insiden itu hampir menamatkan karier mudanya.
“Saya hilang ingatan sekejap menyebabkan keluarga risau dengan keadaan saya. Tapi saya tak pernah terfikir nak berhenti dalam bidang permotoran, sebab dah pergi sejauh ini,” katanya.
Dari insiden itulah semangatnya ditempa lebih kental. Tahun 2021 menyaksikan Farres dinobat juara keseluruhan FIM MiniGP Malaysia, sebelum meneruskan kemenangan dalam kategori Wira pada musim berikutnya.
Bagi Farres, kejayaan bukan hanya tentang trofi yang berkilau di atas rak. Ia tentang disiplin, fokus, dan tanggungjawab untuk membuktikan bahawa dunia perlumbaan bukan sekadar “main motor”, tetapi sukan yang menuntut keberanian sebenar.
“Kalau hendak berlumba, biar di litar. Jatuh pun masih nampak ‘handsome’,” ujarnya sambil tersenyum.
Menatap masa depan, Farres menyimpan impian besar, bukan sekadar menjadi juara keseluruhan kategori "expert" di kejohanan tempatan, tetapi menawan podium di semua kategori Asia tahun ini.
Dia juga berharap lebih ramai remaja berbakat, termasuk mereka yang pernah terlibat dalam perlumbaan haram, beralih ke arena profesional yang lebih selamat.
“Saya harap pelumba muda dan mereka yang minat motor tahu, peluang ada di mana-mana. Jangan sia-siakan, guna sebaiknya. Kalau nak berlumba, buatlah di litar dan bukan di jalanan,” katanya.




