ad

Rotan dalam Islam: Alat mendidik berhemah, bukan menghukum

24 Okt 2025, 5:30 AM
Rotan dalam Islam: Alat mendidik berhemah, bukan menghukum

SHAH ALAM, 24 OKT: Dalam Islam, penggunaan rotan bukan bertujuan menyakitkan atau menghukum secara fizikal, sebaliknya berfungsi sebagai alat pendidikan yang mendisiplinkan dengan kasih sayang dan tanggungjawab.

Pensyarah Kulliyyah Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Mohammad Baihaqi Md Yusnan, menjelaskan bahawa konsep rotan dalam Islam perlu difahami daripada sudut tarbiah, iaitu mendidik dengan hikmah dan niat yang betul.

“Rotan bukan simbol kekerasan, tetapi simbol ketegasan yang disertai kasih sayang. Ia bukan untuk melepaskan marah, tetapi untuk memberi kesedaran bahawa setiap perbuatan ada akibatnya,” katanya lapor Sinar Harian.

Beliau menjelaskan, dalam konteks pendidikan anak dan pelajar, rotan hanya boleh digunakan setelah pendekatan nasihat, bimbingan dan teguran berulang kali tidak berkesan. Tindakan itu juga perlu dilakukan dengan kawalan emosi, tidak mencederakan dan tidak menjatuhkan maruah seseorang.

“Islam sangat menekankan adab dalam mendidik. Jika seseorang guru atau ibu bapa menggunakan rotan, ia mesti dilakukan dengan penuh tanggungjawab dan disertai penjelasan mengapa kesalahan itu perlu ditegur. Tujuannya ialah agar anak sedar, bukan takut,” ujarnya.

Pensyarah Kulliyyah Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Mohammad Baihaqi Md Yusnan

Menurut beliau, masyarakat hari ini sering salah faham terhadap konsep rotan apabila menyamakan perbuatan mendidik dengan kekerasan fizikal. Akibatnya, timbul pandangan bahawa Islam menggalakkan hukuman, sedangkan hakikatnya agama menolak sebarang bentuk penderaan.

“Rotan dalam Islam ada batasnya. Ia bukan hukuman untuk menyakitkan tubuh, tetapi amaran agar manusia kembali kepada jalan yang betul. Jika disalah guna, ia bukan lagi mendidik tetapi menzalimi,” jelasnya lagi.

Beliau turut menekankan bahawa rotan berperanan mendidik disiplin, tanggungjawab dan rasa hormat terhadap peraturan. Dalam konteks sekolah, pendekatan ini perlu disertai dengan komunikasi dan kaunseling agar pelajar memahami kesan tindakan mereka.

“Apabila pelajar tahu sebab dia ditegur dan dihukum, dia belajar untuk tidak mengulangi kesalahan. Di situlah nilai pendidikan Islam, bukan menakut-nakutkan, tetapi membentuk jiwa yang lebih matang dan berakhlak,” katanya.

Tambahnya, Islam menuntut keseimbangan antara tegas dan belas kasihan, kerana kedua-duanya penting dalam melahirkan masyarakat yang berdisiplin dan berakhlak. Rotan hanyalah satu daripada banyak cara mendidik, namun yang paling utama ialah keikhlasan hati dalam membentuk insan.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan persetujuan peribadi agar hukuman rotan dikembalikan di sekolah, namun menegaskan pelaksanaannya perlu mematuhi syarat ketat bagi mengelak penyalahgunaan.

Beliau berkata hukuman itu tidak boleh dijalankan di hadapan umum dan hanya dilaksanakan oleh guru yang diberi kuasa khas. Menurutnya, rotan bertujuan mendidik, bukan mendera, dan perlu dilakukan secara berhemah, seperti di bahagian tangan sahaja.