BALING, 24 OKT: Tujuh sekeluarga termasuk dua kanak-kanak perempuan berusia tiga dan lima tahun berdepan detik cemas apabila rumah mereka di Kampung Batu 8, Mukim Siong, di sini, runtuh akibat arus deras Sungai Ketil malam tadi.
Kejadian berlaku kira-kira jam 10 malam apabila struktur bahagian dapur, bilik tidur dan bilik air kediaman itu runtuh selepas dihanyutkan arus deras sungai berkenaan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling, Penolong Penguasa Bomba Zulkhairi Mat Tanjil berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.30 tengah malam.
Beliau berkata kejadian berlaku ketika hujan lebat dan kedudukan rumah yang terletak berhampiran tebing Sungai Ketil menjadikan ia berisiko tinggi.
Menurutnya pemeriksaan mendapati kerosakan berlaku di bahagian belakang rumah, namun tiada mangsa cedera atau terperangkap dalam kejadian tersebut.
“Kesemua tujuh penghuni rumah berada dalam keadaan selamat. Pemeriksaan dijalankan bagi menilai tahap keselamatan struktur bangunan dan memberi khidmat nasihat kepada keluarga terbabit,” katanya.
Keadaan cuaca tidak menentu dan peningkatan paras air sungai menjadi faktor utama kejadian berisiko seperti itu berlaku terutama bagi kediaman yang berhampiran dengan tebing sungai.
Pihak bomba turut menasihati penduduk agar lebih peka terhadap persekitaran serta mengambil tindakan segera berpindah jika menerima amaran daripada agensi keselamatan.






