ad

Pakej kahwin naik harga, vendor sedia runding ikut kemampuan

26 Okt 2025, 1:00 AM
Pakej kahwin naik harga, vendor sedia runding ikut kemampuan
Pakej kahwin naik harga, vendor sedia runding ikut kemampuan
Pakej kahwin naik harga, vendor sedia runding ikut kemampuan
Pakej kahwin naik harga, vendor sedia runding ikut kemampuan
Pakej kahwin naik harga, vendor sedia runding ikut kemampuan

SHAH ALAM, 27 OKT: Gelombang kenaikan kos perkahwinan bukan sahaja menekan bakal pengantin, malah memberi kesan dan mengubah cara pemain industri dalam sektor itu bertahan.

Daripada perancang majlis kepada penyedia katering, semua pihak perlu menilai semula harga, menu dan skop perkhidmatan supaya majlis kekal meriah tanpa menjerat kewangan.

Pengurus Pemasaran Ara Zainal Wedding Planner Nurul Fahiyyah Ghaziri, mengakui penyesuaian harga sukar dielakkan selepas semakan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

Pengurus Pemasaran Ara Zainal Wedding Planner, Nurul Fahiyyah Ghaziri

Berikutan itu, beliau menasihatkan bakal pengantin memilih pakej mengikut kemampuan masing-masing dan pihaknya bersedia membantu untuk mendapatkan pilihan terbaik.

"Memang agak mencabar dengan SST, kami terpaksa naikkan harga. Jika mahukan majlis besar, perlulah menyediakan bajet lebih (dan sebaliknya)," katanya kepada Media Selangor.

Sementara itu, Ketua Cef Zai Catering Ahmad Nizam Saidin, yang hampir 20 tahun dalam industri mengakui kenaikan harga bahan mentah menjejaskan kos katering.

Ketua Cef Zai Catering, Ahmad Nizam Saidin

Menurutnya, perkara tersebut tidak dapat dielakkan, namun pihaknya sedia berbincang dengan pelanggan untuk menyesuaikan menu mengikut bajet masing-masing.

"Kenaikan harga barang memang tidak dapat dielak. Namun, pelanggan masih memberi maklum balas positif dan ramai yang terus menempah," katanya.

Sementara itu, Perunding Motivasi Fadzli Aziz menasihatkan bakal pengantin bersikap realistik dan jujur dalam merancang perkahwinan supaya tidak terbeban selepas majlis.

Perunding Motivasi, Fadzli Aziz

Menurutnya, pasangan mempelai juga perlu mengelakkan diri daripada terlalu mengikut trend kerana kemeriahan sesebuah majlis tidak menjamin kebahagiaan rumah tangga.

"Pasangan perlu berbincang secara terbuka mengenai status kewangan, elak membanding-bandingkan dengan orang lain, belanja ikut kemampuan. Keluarga jangan beri tekanan jika tidak mahu menaja.

"Nabi SAW menyebut mahar yang ringkas itu lebih berkat. Apa yang penting adalah perancangan selepas kahwin dimana ia memerlukan lebih banyak wang untuk meneruskan kehidupan," tegasnya.