ad

PM: Hukuman rotan wajar dikembalikan tetapi dengan syarat ketat

23 Okt 2025, 4:17 AM
PM: Hukuman rotan wajar dikembalikan tetapi dengan syarat ketat

KUALA LUMPUR, 23 OKT: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan persetujuan peribadi agar hukuman rotan dikembalikan di sekolah, namun pelaksanaannya perlu disertai syarat ketat bagi mengelak penyalahgunaan.

Perdana Menteri berkata antara syarat utama ialah hukuman tersebut tidak boleh dijalankan di hadapan umum dan hanya dilakukan oleh guru yang ditugaskan khas, lapor Berita Harian.

“Pandangan peribadi saya, hukuman rotan harus dikembalikan, tetapi bukan diberi kelonggaran sepenuhnya. Rotan mungkin dilakukan di tangan.

“Saya pernah menjadi guru, ramai anak murid saya pernah dirotan, tetapi sekadar di tangan, tidak sehingga dianggap penderaan,” katanya menjawab soalan tambahan RSN Rayer (HARAPAN–Jelutong) pada sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Anwar mengakui wujud pandangan berbeza termasuk daripada kumpulan hak asasi manusia yang menganggap hukuman itu sebagai penderaan, namun ramai pendidik dan ibu bapa berpendapat ia masih relevan untuk mendidik pelajar.

“Jika dikembalikan, ia mesti ada syarat ketat, hanya guru tertentu boleh melaksanakannya, dilakukan di bilik disiplin, dan jumlah sebatan juga ditetapkan.

“Saya fikir ibu bapa tidak perlu terlalu bimbang. Kenakalan anak-anak perkara biasa, tetapi jika melanggar peraturan secara berlebihan, tentu perlu ada hukuman. Namun ini sekadar pandangan peribadi, bukan dasar kerajaan,” jelasnya.

Beliau berkata perkara itu akan melalui proses libat urus semua pihak yang akan dikendalikan oleh Menteri Pendidikan sebelum dimuktamadkan.

Mengulas kes dua guru Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Chung Hwa Confucian yang didakwa merotan pelajar, Anwar menjelaskan kes berkenaan masih dalam tindakan mahkamah.

“Saya difahamkan salah seorang murid terlibat merupakan anak autisme. Jadi keadaan mungkin berbeza. Elok kita tunggu proses mahkamah, namun jika kes dianggap ringan, pendakwa raya boleh menilai semula tuduhan,” katanya.

Sementara itu, berhubung larangan penggunaan telefon bimbit dan media sosial di sekolah, Anwar menjelaskan kerajaan tidak mengharamkan telefon sepenuhnya, sebaliknya hanya menekankan kawalan terhadap penggunaan media sosial.

“Penggunaan telefon turut dikaitkan dengan isu lain seperti pedofilia dan perjudian, jadi perkara ini sedang diteliti.

“Saya cenderung berpandangan bahawa ilmu dan kecanggihan tidak boleh dipisahkan daripada soal adab dan akhlak,” katanya.