SHAH ALAM, 23 OKT: Malaysia bakal menjadi saksi kepada pemeteraian penyelesaian konflik antara Thailand dan Kemboja sempena Sidang Kemuncak Asean ke-47, akan datang.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata rundingan damai itu juga akan disaksikan bersama Presiden Amerika Syarikat Presiden Donald Trump yang turut berusaha mengurangkan ketegangan kedua-dua negara berkenaan.
"Bukan sahaja pertemuan yang saya pengerusikan sekali, tetapi sudah beberapa kali di Malaysia di antara ketua-ketua pasukan bersenjata Thailand dan Kemboja di Kuala Lumpur serta turut terlibat menteri-menteri luar Kemboja dan Thailand.
"Baru-baru ini (pertemuan) Menteri Pertahanan Kemboja dan Thailand untuk memeterai syarat terperinci dan sekiranya disepakati dalam satu dua hari ini, pemeteraian ini akan disaksikan oleh saya dan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump yang turut mendukung penyelesaian ini," katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab sesi pertanyaan Ahli Parlimen Gombak Dato’ Seri Amirudin Shari berhubung senarai pemimpin negara dan pertubuhan antarabangsa yang akan hadir ke Sidang Kemuncak Asean ke-47 dan persiapan serta pencapaian utama Kepengerusian Asean Malaysia di Dewan Rakyat hari ini.
Dalam pada itu, Anwar berkata persiapan Sidang Kemuncak Asean ke-47 yang dijadual berlangsung dari 26 hingga 28 Oktober ini di Kuala Lumpur berjalan lancar selain turut menzahirkan penghargaan kepada petugas berkaitan yang bertungkus-lumus.
Jelasnya, sebanyak 11 negara Asean akan terlibat dalam persidangan itu antaranya Timor Leste, Amerika Syarikat, Australia, Korea, China, Jepun, Rusia dan Afrika Selatan.
Antara yang menjadi tumpuan dalam sidang tersebut, jelas Anwar adalah sektor perdagangan, pelaburan, isu pengedaran dadah dan scammer yang meluas di beberapa kawasan.
“Saya percaya dalam sidang menteri luar dan ketua-ketua negara Asean kita masih tekankan hal ini bahawa hal edaran dadah mesti dihentikan termasuk scammer berlaku di beberapa kawasan sempadan di rantau Asean mesti juga dihalang kerana ia akan membebankan ramai rakyat,” katanya.




