ad

Reformasi pendidikan: Tubuh jawatankuasa khas tangani beban guru – NUTP

22 Okt 2025, 1:37 PM
Reformasi pendidikan: Tubuh jawatankuasa khas tangani beban guru – NUTP
Reformasi pendidikan: Tubuh jawatankuasa khas tangani beban guru – NUTP
Reformasi pendidikan: Tubuh jawatankuasa khas tangani beban guru – NUTP

SHAH ALAM, 22 OKT: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) menggesa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menubuhkan jawatankuasa khas bagi mengenal pasti punca sebenar beban tugas yang dipikul guru ketika ini.

Presidennya Aminuddin Awang berkata, realiti tugas guru masa kini jauh berbeza berbanding era 1970-an dan 1980-an apabila fokus utama hanyalah mendidik pelajar di bilik darjah.

Sebaliknya, katanya, guru generasi hari ini terpaksa menggalas pelbagai tanggungjawab lain termasuk aktiviti kokurikulum dan kerja perkeranian yang tidak berkaitan dengan profesion perguruan.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Aminuddin Awang (kiri) ketika menjadi panel Forum Reformasi Pendidikan dan Cabaran Masa Kini: Punya Arah atau Hilang Arah? di Pustaka Raja Tun Uda Shah Alam pada 22 Oktober 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

“Dalam sesi turun padang ke seluruh negara, perkara paling kerap dibangkitkan guru ialah isu beban tugas.

“Ya, mana-mana pekerjaan pasti ada beban, tetapi bagi guru, mereka kini dipaksa melakukan pelbagai kerja yang langsung tidak relevan dengan peranan profesional sebagai pendidik.

“Akibatnya, banyak masa mereka dihabiskan untuk melaksanakan tugasan luar dan memenuhi pelbagai KPI, bukan mendidik pelajar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel Forum Reformasi Pendidikan dan Cabaran Masa Kini: Punya Arah atau Hilang Arah? anjuran Kerajaan Selangor di Pustaka Raja Tun Uda, di sini, hari ini.

Sementara itu, Ahli Dewan Negeri Batu Tiga Danial Al-Rashid pula berpendapat jurang antara guru dan pentadbir perlu segera dipecahkan bagi memastikan suara pendidik lebih didengari dalam proses membuat dasar.

Ahli Dewan Negeri Batu Tiga Danial Al-Rashid ketika menjadi panel Forum Reformasi Pendidikan dan Cabaran Masa Kini: Punya Arah atau Hilang Arah? di Pustaka Raja Tun Uda Shah Alam pada 22 Oktober 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

“Kerap kali dasar dibuat tanpa memahami realiti di sekolah. Cikgu di lapangan menghadapi kekangan, tetapi pandangan mereka tidak didengari.

“Sebab itu, setiap keputusan pentadbiran perlu mengambil kira pandangan guru yang menjadi pelaksana dasar di peringkat bawah,” katanya.

Forum yang dikendalikan Ketua Sekretariat Pembangunan Mahasiswa Selangor Mohd Hidayat Mohd Sauffi turut menyertai forum berkenaan ialah Ahli Dewan Negara Dr Jufitri Joha, mantan Presiden Majlis Belia Malaysia dan Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris Prof Dato’ Dr Md Amin Md Taff.

Terdahulu, forum dirasmikan oleh Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari yang hadir mendengar perbincangan berkenaan, menggambarkan kesungguhan Kerajaan Negeri memastikan hala tuju reformasi pendidikan kekal di landasan tepat.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) bergambar bersama para peserta pada Forum "Reformasi Pendidikan dan Cabaran Masa Kini: Punya Arah atau Hilang Arah?" di Pustaka Raja Tun Uda Shah Alam pada 22 Oktober 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR