KOTA KINABALU, 22 OKT: Projek pembinaan Lebuhraya Pan Borneo (LPB) bagi pakej enam, tujuh dan lapan yang melibatkan jajaran Jalan Lingkaran Luar Kota Kinabalu (KKOR) dari Putatan ke Berungis, Tuaran sepanjang 41.7 kilometer (km) kini mencapai 80 peratus kemajuan.
Penolong Pengarah Cawangan Pembinaan dan Pemantauan, Sektor LPB Ahmad Nazrul Madri berkata pembinaan laluan utama dari Putatan ke Jalan Norowot dijangka siap sepenuhnya pada Mac tahun depan.
Beliau berkata sebahagian laluan sudah dibuka kepada pengguna dan apabila projek itu siap sepenuhnya, ia bakal mengurangkan kesesakan lalu lintas di sepanjang jajaran berkenaan.
“Kita jangkakan kira-kira 30 peratus pengguna jalan raya akan menggunakan LPB dari Ketiau ke Tuaran tanpa perlu melalui pusat bandar raya.
“Begitu juga pengguna dari pantai timur dan utara Sabah yang boleh menggunakan laluan baharu ini untuk ke Kota Kinabalu,” katanya pada taklimat dan lawatan kerja ke tapak projek LPB di Spur Road, Penampang, hari ini.
Projek pembinaan jajaran itu dimulakan pada Disember 2019 dengan kos kontrak terkini berjumlah RM915.37 juta.
Ahmad Nazrul berkata antara skop kerja utama projek termasuk pembinaan jalan raya baharu dua lorong dua hala dari Putatan ke Kionsom, Inanam sepanjang 19.6km, Spur Road ke Bukit Padang sepanjang 2.1km, lima jambatan baharu, empat persimpangan bertingkat serta pembinaan laluan ‘elevated u-turn’ di Jalan Kota Kinabalu–Sindumin.
Katanya projek berkenaan bukan sahaja memberi manfaat kepada pengguna jalan raya, malah turut menguntungkan sektor industri apabila laluan itu menghubungkan Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) dengan kawasan perindustrian di Lokkawi.
Selain itu, katanya jajaran baharu itu dijangka memberi limpahan ekonomi kepada sektor pelancongan kerana Bukit Kokol turut dihubungkan melalui laluan berkenaan.
Bagi mengatasi masalah banjir, beliau berkata kontraktor turut membina terowong atau Vehicular Box Culvert (VBC) di kawasan Kolopis bagi mempercepatkan aliran keluar air banjir.
“Memang banjir tidak dapat dielakkan apabila paras sungai meningkat, namun langkah ini membantu mempercepatkan surut air dan mengelakkan banjir termenung,” katanya.