ad

Diskaun saman AwAS 50 peratus diteruskan hingga akhir tahun

22 Okt 2025, 7:00 AM
Diskaun saman AwAS 50 peratus diteruskan hingga akhir tahun

SHAH ALAM, 22 OKT: Diskaun saman trafik Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) termasuk kesalahan dikesan melalui Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AwAS) kekal pada kadar 50 peratus bermula 1 November hingga 31 Disember ini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, keputusan mengekalkan kadar diskaun itu bagi memastikan keadilan kepada individu yang telah menjelaskan saman lebih awal sejak tawaran sama diberikan pada awal tahun ini, lapor Berita Harian.

“JPJ sejak awal tahun menawarkan pengurangan 50 peratus bagi saman AwAS dan saman di bawah Seksyen 22.

“Jika kadar baharu dinaikkan kepada 70 peratus, ia tidak adil kepada mereka yang sudah membuat bayaran,” katanya pada sidang media bersama Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail di Parlimen, hari ini.

Sebelum ini, JPJ menawarkan kompaun khas dengan kadar rata RM150 bagi tiga jenis notis saman, AwAS (Saman 53A), Notis Temu Siasat (114) dan Notis Saman Tampal/JPJ(P)23 (115) yang boleh dikompaun di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sehingga 21 Oktober lalu, JPJ berjaya menyelesaikan 1.4 juta saman AwAS dengan jumlah kutipan RM425 juta.

“Jumlah ini menunjukkan sambutan baik orang ramai, namun ada juga yang menangguhkan bayaran kerana menunggu tawaran diskaun,” katanya.