ad

Keputusan 40 peratus hasil Sabah tidak libat kerajaan semasa: PM

22 Okt 2025, 6:02 AM
Keputusan 40 peratus hasil Sabah tidak libat kerajaan semasa: PM

SHAH ALAM, 22 OKT: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu berhubung semakan pemberian khas hasil Persekutuan kepada Sabah tidak melibatkan pentadbiran semasa.

Menurut beliau, keputusan mahkamah yang diumumkan pada 17 Oktober itu perlu difahami dalam konteks tempoh antara 1974 hingga 2021 sebagaimana diperincikan dalam penghakiman.

Katanya, ia tidak melibatkan kerajaan bermula tahun 2023 dan seterusnya.

“Keputusan Mahkamah Tinggi Sabah itu terpakai dan saya tidak pernah mengeluarkan kenyataan yang bercanggah dengannya. Tetapi perlu difahami bahawa keputusan itu tidak menyentuh tahun 2023 dan berikutnya,” katanya ketika sesi taklimat khas di Parlimen, hari ini.

Beliau menegaskan kerajaan MADANI menghormati proses perundangan dan akan meneliti alasan penghakiman sepenuhnya sebaik diterima sebelum mengambil sebarang langkah lanjut atas nasihat Peguam Negara.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu memutuskan kerajaan Persekutuan bertindak secara tidak sah dan melampaui kuasa perlembagaan apabila gagal menunaikan hak Sabah terhadap 40 peratus hasil Persekutuan antara 1974 hingga 2021.

Dalam penghakiman itu, Hakim Datuk Celestina Stuel Galid menyifatkan pemberian khas antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri sebagai 'tidak sah, ultra vires dan tidak rasional' serta mengarahkan semakan semula hasil di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.

Sementara itu, Anwar turut menegur segelintir pihak yang cuba menimbulkan kekeliruan seolah-olah kerajaan Persekutuan, termasuk ketika diterajui pembangkang, hanya menyedut hasil Sabah tanpa menyumbang kepada pembangunan negeri itu.

“Keputusan ini telah menimbulkan tafsiran yang mengelirukan, seolah-olah kerajaan Persekutuan kini dan juga sebelumnya tidak menyumbang kepada pembangunan Sabah,” jelasnya.

Beliau berkata, demi menghormati proses kehakiman yang masih berjalan, kerajaan tidak akan mengulas lanjut mengenai perkara yang masih menjadi pertikaian di mahkamah.