SHAH ALAM, 22 OKT: Sebuah kedai gunting rambut dikendalikan warga asing tanpa kebenaran diserbu Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) dalam operasi di Telok Panglima Garang pada 15 Oktober lalu.
MPKL memaklumkan, pemeriksaan pada jam 11.20 pagi mendapati premis berkenaan beroperasi tanpa lesen sah daripada pihak berkuasa tempatan.
“Hasil pemeriksaan mendapati pemilik gagal mengemukakan lesen sah, manakala individu mengendalikan perniagaan tersebut merupakan warga asing,” katanya dalam kenyataan.

Justeru, tindakan diambil di bawah Undang-Undang Kecil 3(1), Undang-Undang Kecil Pusat Kecantikan dan Penjagaan Kesihatan (MDKL) 2007 kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen.
Selain itu, peralatan di premis turut disita mengikut Undang-Undang Kecil 32 peraturan sama.
Katanya, MPKL memandang serius sebarang aktiviti perniagaan tanpa lesen, khususnya yang dijalankan oleh warga asing.
"Orang ramai diingatkan supaya memperbaharui lesen serta mematuhi syarat ditetapkan bagi mengelak tindakan undang-undang," katanya.