SHAH ALAM, 22 OKT: Seorang pemuda cedera tulang pinggul dan tangan selepas motosikal ditunggangnya berlanggar dengan kereta peronda polis (MPV) di persimpangan lampu isyarat Padang Jawa menghala ke Seksyen 16, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.19 petang itu, anggota MPV bertugas tidak mengalami kecederaan serius.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, siasatan awal mendapati MPV polis dari arah Jalan Sungai Rasau menuju ke Seksyen 19.
“Setibanya di persimpangan lampu isyarat Padang Jawa, dalam keadaan memasang lampu beacon dan siren, MPV polis dilanggar motosikal mangsa berusia 27 tahun.
“Kemalangan menyebabkan penunggang motosikal cedera di tulang pinggul dan tangan. Mangsa kini dirawat di Hospital Shah Alam manakala anggota MPV hanya cedera ringan,” katanya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan dalaman turut dijalankan bagi mengenal pasti kemungkinan kecuaian daripada pihak polis.
Orang ramai atau saksi kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat BSPT IPD Shah Alam, Inspektor Zaharizul Zamri di talian 019-3229097 bagi membantu siasatan.