SHAH ALAM, 21 OKT: Seramai hampir 10,000 anggota bomba di Selangor bersiap siaga menghadapi Monsun Timur Laut yang dijangka bermula bulan depan hingga Mac tahun depan.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Wan Md Razali Wan Ismail berkata kesiapsiagaan itu melibatkan 1,752 anggota JBPM, 1,212 pasukan bomba sukarela dan 6,876 pasukan bomba komuniti dengan keseluruhan 9,840 anggota.
“Semua kawasan yang diisytiharkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sebagai hotspot dan berisiko banjir akan diberi tumpuan. Tahun ini kita menumpukan 68 lokasi hotspot, tertinggi di Klang (21 lokasi), diikuti Hulu Langat (10) dan Sepang (9).
“Sebanyak 291 lokasi pula dikenal pasti sebagai kawasan berisiko banjir, antaranya Klang (64), Hulu Langat (42) dan Petaling (38),” katanya ketika dihubungi Media Selangor hari ini.
Menurut beliau, JBPM turut menggunakan pendekatan teknologi termasuk penggunaan dron taktikal bagi memantau dan menilai kawasan terjejas banjir.
“Pemantauan perlu dibuat berterusan kerana anggota berdepan cabaran berbeza di kawasan bandar dan luar bandar.
“Di bandar, sistem perparitan yang tidak mencukupi atau tersumbat menyebabkan air naik cepat dan menyukarkan laluan jentera bomba.
“Sementara di luar bandar, akses jalan mudah terputus serta berisiko tanah runtuh menyebabkan cabaran mencari mangsa lebih besar,” jelasnya.
Beliau turut menasihati penduduk agar sentiasa peka terhadap amaran cuaca yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dan pihak berkuasa tempatan.
“Penduduk perlu menyimpan dokumen penting, ubat-ubatan dan pakaian di tempat tinggi, selain menyediakan makanan kering jika terkandas. Elakkan aktiviti berhampiran sungai atau tali air ketika hujan lebat,” katanya.
Pada 8 Oktober lalu, MetMalaysia memaklumkan antara lima hingga tujuh episod hujan lebat berterusan dijangka berlaku di kebanyakan negeri sepanjang Monsun Timur Laut 2025/2026.