MELAKA, 21 OKT: Lelaki dipercayai melibas objek tajam terhadap remaja perempuan berusia 18 tahun di Tangga Batu semalam, direman tujuh hari hingga 27 Okt ini.
Perintah reman terhadap lelaki berusia 25 tahun itu dikeluarkan Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman di Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini hari ini.
Ia bagi membolehkan siasatan kes di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan cedera parah menggunakan senjata atau alat berbahaya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Christopher Patit berkata lelaki berkenaan ditahan pada 11 malam tadi di sebuah rumah di Jalan Tangga Batu, Tanjung Kling di sini.
Beliau berkata sebilah pisau turut dirampas ketika serbuan tersebut selain sebuah motosikal dan helmet dipercayai digunakan suspek ketika kejadian.
Terdahulu, media melaporkan seorang remaja perempuan cedera di bahagian belakang pinggang dipercayai dilibas dengan objek tajam ketika sedang membonceng motosikal di Jalan Tangga Batu Melaka berhadapan Taman Tangga Batu Seksyen di sini, petang semalam.
-- BERNAMA
TAG: mahkamah, reman, objek tajam, libas, pemuda