SHAH ALAM, 21 OKT: Jurulatih penjaga gol pasukan Kelantan, Wan Kamaluzaman Mohammed digantung serta-merta susulan insiden pergaduhan ketika aksi Piala Emas Raja-Raja (PERR) 2025 pada 12 Oktober lalu.
Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Melayu Malaysia (PBMM), Nazeri Hussin berkata keputusan itu dibuat selepas mesyuarat Jawatankuasa Disiplin dan Keselamatan pada 14 Oktober.
“Wan Kamaluzaman Mohammed digantung daripada menyertai sebarang pertandingan anjuran PBMM bagi musim 2025/2026 berikutan tindakannya menumbuk pemain Selangor dalam perlawanan berkenaan,” katanya seperti dilapor Berita Harian.
Nazeri menegaskan PBMM tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk keganasan atau provokasi dan mengingatkan semua pasukan supaya kekal berdisiplin selaras semangat kesukanan sepanjang kejohanan berlangsung.
“Setiap pasukan juga diingatkan menjaga tingkah laku, mematuhi peraturan serta menjaga imej dengan menjunjung semangat kesukanan dan disiplin dari awal hingga akhir kejohanan,” katanya.