ad

Kerjasama komuniti, UPM komersialkan ulam raja sebagai produk kesihatan dan kecantikan

21 Okt 2025, 5:29 AM
Kerjasama komuniti, UPM komersialkan ulam raja sebagai produk kesihatan dan kecantikan
Kerjasama komuniti, UPM komersialkan ulam raja sebagai produk kesihatan dan kecantikan
Kerjasama komuniti, UPM komersialkan ulam raja sebagai produk kesihatan dan kecantikan

SEPANG, 21 OKT: Usaha komuniti Pangsapuri Siantan, Putra Perdana, Sepang dalam mengusahakan tanaman ulam raja membuka lembaran baharu apabila hasilnya berjaya dikomersialkan sebagai produk serbuk teh, bahan kosmetik dan perisa ais krim.

Inisiatif berkenaan tercetus selepas kegagalan awal komuniti itu menanam terung dan cili. Namun, kegigihan mereka menarik perhatian penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) yang kemudian mencadangkan penanaman ulam raja berikutan potensinya yang tinggi dalam pasaran kesihatan dan kecantikan.

Ahli Kebun Komuniti Pangsapuri Siantan, Aspalela Hamzah berkata, tanaman tersebut bukan sahaja mudah dijaga malah mempunyai nilai komersial tinggi kerana khasiatnya yang kaya dengan antioksidan serta mampu meningkatkan daya tahan tubuh.

“Ia membuktikan bahawa kegagalan awal bukan pengakhiran, sebaliknya pemangkin kepada kejayaan yang lebih besar apabila disertai ilmu dan bimbingan yang tepat,” katanya.

Potensi itu menjadi asas kepada penghasilan pelbagai produk berasaskan ulam raja yang kini mula menembusi pasaran tempatan.

Sementara itu, Ahli Majlis Zon Putra Perdana, Naharanuar Ayob yang sentiasa menyokong usaha komuniti tersebut merakamkan penghargaan kepada Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI atas sumbangan dan sokongan terhadap aktiviti kebun komuniti berkenaan sehingga membuka ruang kerjasama dengan UPM.

“Siapa sangka ulam yang biasa kita makan kini dapat dijadikan produk seperti kerepek, serbuk teh herba, bahan kosmetik dan perisa semula jadi untuk ais krim,” ujarnya.

Program itu bukan sahaja menjana ekonomi setempat malah turut menyemai semangat kerjasama dan inovasi dalam kalangan penduduk.

Inisiatif komuniti berkenaan turut mendapat perhatian Borak Lokal Media Selangor yang melihat projek Ulam Raja Siantan sebagai contoh terbaik bagaimana komuniti bandar dapat memanfaatkan ruang kecil sebagai sumber ekonomi hijau yang lestari dan berimpak tinggi.