SHAH ALAM, 21 OKT: Program seumpama Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) versi junior dicadang diwujudkan bagi membantu memulihkan salah laku pelajar secara lebih berkesan dan berstruktur.
Pakar pendidikan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad berkata, pendekatan baharu diperlukan kerana masalah disiplin pelajar berpunca daripada pelbagai faktor dan tidak boleh diselesaikan dengan satu kaedah tunggal seperti ceramah atau hukuman gantung sekolah.
“Kajian menunjukkan salah laku murid berlaku disebabkan pelbagai faktor antaranya kemiskinan keluarga, kerapuhan nilai moral ibu bapa, pengaruh media sosial, permainan video, dan rakan sebaya. Maka penyelesaiannya juga mesti pelbagai,” katanya di Facebook.
Menurut beliau, bagi pelajar yang bermasalah kerana kurang disiplin atau kerap melanggar peraturan sekolah, kerajaan wajar mempertimbangkan penubuhan kem khas ‘PLKN Junior’ selama tiga bulan bagi membentuk semula sahsiah dan daya tahan diri mereka.
“Letakkan murid ini di PLKN Junior. Bina semula karakter mereka, gilap potensi dan bentuk semula amalan hidup supaya mereka belajar menghormati orang lain serta fokus menjadi insan berjaya.
“Sepanjang tempoh itu, elakkan media sosial dan permainan video. Sertakan juga latihan fizikal dan pembelajaran bersama guru bersara yang berpengalaman,” katanya.
Dr Anuar menegaskan, walaupun pelaksanaan PLKN Junior memerlukan peruntukan besar, langkah itu lebih berbaloi berbanding menanggung kos sosial akibat peningkatan salah laku, penagihan dadah atau jenayah.
“Mana lebih sukar antara membangunkan PLKN Junior atau membina lebih banyak pusat pemulihan dan penjara? Ubahlah cara penyelesaian dan berani bertindak untuk selamatkan masa depan murid,” tegasnya.