GOMBAK, 21 OKT: Projek penggantian paip utama sedang dilaksanakan di Bandar Country Homes, Rawang bagi menangani gangguan bekalan air berpanjangan yang berpunca daripada infrastruktur lama.
Projek yang dilaksanakan oleh Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) itu melibatkan penggantian paip yang telah digunakan antara tiga hingga empat dekad, yang menjadi punca utama berlakunya kebocoran dan gangguan bekalan air berulang di kawasan berkenaan.
Ahli Dewan Negeri Rawang, Chua Wei Kiat berkata, inisiatif tersebut dijangka menjadi penyelesaian jangka panjang terhadap masalah yang dihadapi penduduk sejak sekian lama.
“Matlamat kami ialah untuk menyediakan perkhidmatan bekalan air yang lebih stabil kepada penduduk dengan menggantikan paip lama ini serta memastikan keperluan asas komuniti dapat dipenuhi dengan berkesan,” katanya dipetik The Star.
Beliau berkata, fasa awal projek memberi tumpuan kepada empat kawasan panas iaitu Fasa 3, 4, 12 dan 13 yang paling terjejas akibat gangguan bekalan air.
Fasa 3 dan 4 diperuntukkan sebanyak RM7.2 juta bagi kerja penggantian paip sepanjang 6.2 kilometer, manakala Fasa 12 dan 13 turut menerima peruntukan sama untuk panjang laluan yang setara.
Chua menambah, pemilihan kawasan tersebut dibuat berdasarkan data dan bukti menyeluruh mengenai masalah berulang yang dikenal pasti.
Air Selangor memaklumkan penduduk akan diberitahu mengenai penyesuaian trafik yang diperlukan sepanjang tempoh pelaksanaan projek itu.
Di peringkat negeri, Chua berkata, Kerajaan Negeri Selangor menyasarkan untuk menggantikan kira-kira 300 kilometer paip lama menjelang akhir tahun ini.
Beliau berkata, projek itu menandakan langkah penting ke arah meningkatkan kebolehpercayaan dan kualiti bekalan air kepada rakyat Selangor.
Kerja-kerja penggantian paip di Bandar Country Homes dijangka siap pada Jun tahun hadapan.