SHAH ALAM, 23 Okt: Tanjong Sepat bukan sekadar lokasi pelancongan pesisir pantai tetapi nadi kepada warisan, budaya dan keharmonian masyarakat pelbagai kaum di Selangor.
Di sini letaknya keistimewaan yang sukar ditandingi, daripada hidangan tradisi ke pantai semula jadi dan sambutan festival yang menyatukan rakyat.
Menurut Ahli Dewan Negerinya, Datuk Borhan Aman Shah, antara simbol warisan yang terus hidup di Tanjong Sepat ialah nasi ambeng, juadah ikonik masyarakat Jawa yang bukan sahaja menyelerakan malah membawa mesej mendalam tentang kekeluargaan.
"Nasi ambeng ni makanan warisan orang Jawa. Kita makan ramai-ramai dalam satu dulang. Ada ayam ungkep, serunding, mi goreng. semua ambil sama-sama. Ada simbol ukhuwah di situ," beliau berkata demikian menerusi Skop: Tanjong Sepat: 'Healing' di pesisir pantai siaran 20 Oktober 2025.
Tambahnya, Nasi Ambeng yang diiktiraf sebagai makanan warisan Selangor itu kini menjadi antara tarikan pelancongan utama dan sering dimasukkan dalam itinerari pelawat yang ingin merasai keunikan budaya tempatan.
'Healing' di Pantai Cunang
Bagi yang mendambakan ketenangan, Pantai Cunang merupakan destinasi ‘healing’ yang sempurna dan terletak di kawasan Orang Asli, pantai ini masih kekal asli dan bebas pembangunan.
Kenderaan tidak dibenarkan masuk bagi mengekalkan kelestariannya.

Menurut Borhan, ramai pengunjung berbasikal dan bermotosikal ke sana untuk menikmati suasana damai, terutama saat matahari terbenam.
“Pantai Cunang ni walaupun tak panjang, tapi masih asli.
"Ramai yang datang dengan basikal, motor, duduk tengok matahari terbenam. Ada juga aktiviti menangkap ikan secara tradisi, orang panggil ‘mengisa’,” tambah Borhan.
Festival Batu Laut
Melengkapi pengalaman pelancongan komuniti ini ialah Festival Selangor @ Batu Laut iaitu acara tahunan yang mula diperkenalkan sejak 2024.
Festival ini menyatukan pelbagai kaum melalui persembahan budaya, seni dan muzik yang menggabungkan elemen Melayu, Cina, India dan Orang Asli.
“Kita tutup jalan, beri laluan semua kaum buat persembahan. Akhirnya kita gabungkan muzik mereka dalam satu lagu irama kebangsaan. Sangat meriah dan menyentuh hati,” katanya.
Ujar Borhan, dengan warisan yang dijaga, alam yang dipelihara dan semangat perpaduan yang dirai, Tanjong Sepat terus berkembang sebagai destinasi pelancongan berjiwa, sesuai untuk dinikmati bersama keluarga dan sahabat.

