SHAH ALAM, 20 OKT: Suasana pilu menyelubungi upacara perpisahan terakhir remaja yang maut ditikam di sekolah di Bandar Utama, Petaling Jaya, apabila 100 belon biru dan putih iaitu warna kegemarannya dilepaskan ke udara sebagai simbolik doa dan restu buat perjalanan akhir remaja itu.
Ratusan individu termasuk ahli keluarga, rakan sekolah dan guru hadir di Nirvana Center Kuala Lumpur bagi memberi penghormatan terakhir kepada mendiang, memetik laporan Harian Metro.
Sejak jam 8 pagi tadi, suasana bertukar hiba apabila ahli keluarga, saudara-mara, guru dan rakan sekolah yang hadir memberikan penghormatan penuh emosi kepada mendiang.
Jasad pelajar perempuan itu kemudiannya dibawa ke Krematorium Nirvana di Shah Alam, Selangor untuk disemadikan secara pembakaran.
Pada sesi penghormatan terakhir kepada mendiang, ibu, Wong Lee Ping; ayah tiri mangsa, How Boon Chin termasuk kakaknya kelihatan sebak dan menzahirkan ucapan bahawa keluarga akan sentiasa merindui adik bongsunya itu.
Dalam pada itu, turut berlansung upacara sembahyang bersama ahli keluarga kemudian tayangan montaj memaparkan perjalanan hidupnya sebelum ini.
Suasana bertambah pilu apabila ahli keluarga jelas menahan kesedihan ketika mengiringi keranda termasuk kakak mendiang yang dilihat membawa plat nama adiknya, sebelum dibawa ke untuk upacara pembakaran di Shah Alam, hari ini.
Sepanjang lima hari upacara pengebumian sejak Khamis lalu, rakan sekolah, guru dan ahli keluarga dilihat hadir memberi penghormatan terakhir kepada remaja berkenaan yang disifatkan sebagai pelajar cemerlang dan berdisiplin.
Keluarga mendiang turut berkongsi kesedihan mereka dengan ucapan ringkas di media sosial, menyatakan rasa rindu dan kasih yang tidak akan padam terhadap anak perempuan itu.
Dalam kejadian 14 Oktober lalu, mangsa ditemukan meninggal dunia di tandas sekolah sebelum dua senjata tajam, yang dipercayai digunakan untuk menikam mangsa, ditemui di tempat kejadian.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail seorang pelajar lelaki sekolah sama berusia 14 tahun telah ditahan berhubung kes terbabit.