KUALA LUMPUR, 20 OKT: Kerajaan Selangor berhasrat untuk mengiktiraf beberapa makanan tradisional masyarakat Cina di negeri ini seperti bak kut teh Klang, mi hokkien dan chai kueh sebagai makanan warisan, sekali gus menjadikannya antara tarikan utama pelancong.
EXCO Kerajaan Tempatan dan Pelancongan, Dato’ Ng Suee Lim berkata makanan tradisional merupakan salah satu tarikan utama pelancong. Antara hidangan yang telah disenaraikan sebagai makanan warisan Selangor termasuk Sate Kajang dan Punten.
“Makanan tradisional daripada pelbagai kaum memainkan peranan penting. Oleh itu Kerajaan Negeri berharap dapat menyenaraikan hidangan daripada semua kaum dalam makanan warisan Selangor ,” katanya.
Ketika ditemui semasa menghadiri Majlis Jamuan Ulang Tahun ke-88 Rumah Orang Tua Perak George V Silver Jubilee( 88th anniversary luncheon of SKGV Charity Home) di Kuala Lumpur semalam, Suee Lim berkata bagi makanan tradisional Cina, Bak Kut Teh Klang, Mi Hokkien dan Chai Kueh disyorkan untuk dipromosikan kepada pelancong sebagai hidangan istimewa masyarakat Cina.

“Bak Kut Teh Klang sememangnya sudah terkenal, namun Mi Hokkien Klang juga merupakan hidangan yang patut dipromosikan. Setiap tempat mempunyai gaya tersendiri dalam penyediaan Mi Hokkien, dan versi Klang amat dikenali , ia wajar disenaraikan sebagai hidangan warisan,” katanya.
Mengulas mengenai Tahun Melawat Selangor 2025, beliau menjelaskan kempen tersebut menunjukkan perkembangan yang amat menggalakkan.
“Sehingga bulan Jun tahun ini, Selangor telah menarik seramai 4.14 juta pelancong, dan beliau yakin sasaran 8 juta pelancong menjelang hujung tahun dapat dicapai,” katanya.
Beliau menambah, Tahun Melawat Selangor akan diteruskan sehingga tahun depan selaras dengan Tahun Melawat Malaysia 2026. Tema kempen tahun ini ialah “Surprising Selangor”, manakala tema bagi tahun depan mungkin “Selangor Kan Ada".
Kerajaan Negeri Selangor menetapkan sasaran untuk menarik 8 juta pelancong dan menjana transaksi pelancongan bernilai RM11.7 bilion bagi tahun ini.