ad

MB: Masyarakat India terus dibela, diberdaya dalam Belanjawan Selangor 2026

19 Okt 2025, 11:40 AM
MB: Masyarakat India terus dibela, diberdaya dalam Belanjawan Selangor 2026
MB: Masyarakat India terus dibela, diberdaya dalam Belanjawan Selangor 2026
MB: Masyarakat India terus dibela, diberdaya dalam Belanjawan Selangor 2026
MB: Masyarakat India terus dibela, diberdaya dalam Belanjawan Selangor 2026
MB: Masyarakat India terus dibela, diberdaya dalam Belanjawan Selangor 2026

SHAH ALAM, 19 OKT: Belanjawan Selangor 2026 akan terus memberi tumpuan kepada usaha membela dan memberdaya masyarakat India di Selangor agar kualiti hidup mereka dapat ditingkatkan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dalam perutusan Deepavali 2025 berkata pasukannya kini dalam proses untuk menyiapkan Belanjawan Selangor 2026 yang dijadual dibentangkan 14 November depan.

“Saya memberikan pengesyoran bahawa masyarakat India di Selangor akan terus dibela dan diberdaya supaya kualiti hidup anda dapat ditingkatkan. Baru-baru ini, saya telah memberikan bantuan persekolahan kepada 873 sekolah di seluruh negeri.

“Daripada jumlah ini, sebanyak 98 Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil diberikan bantuan RM5 juta bagi memantapkan fasiliti dan kemudahan kerana saya mahu semua pelajar di Selangor belajar dalam keadaan yang selamat dan selesa, termasuk pelajar SJKT.

“Untuk kita terus berjaya bukan saja di Malaysia tetapi dapat bersaing dengan negeri maju di Asia, kita perlu memberikan fokus kepada pendidikan kerana itu kunci supaya anak-anak Selangor dapat ditawarkan pekerjaan yang lebih berkualiti,” katanya.

Sambil menitip ucapan Selamat Hari Deepavali kepada seluruh komuniti Hindu dan Sikh yang menetap di Selangor, Amirudin berkata perayaan Deepavali antara kepelbagaian dan keunikan yang dinikmati rakyat Selangor.

“Keunikan ini yang membezakan Selangor dengan lokasi lain kerana negeri ini telah membuktikan bahawa kita meraikan kepelbagaian budaya serta fahaman dan ini merupakan asas kejayaan Selangor.

“Nikmatilah detik perayaan ini bersama sahabat dan keluarga tersayang dan bagi anda yang pulang ke kampung di luar negeri, saya mendoakan perjalanan pergi dan pulang yang selamat bagi anda semua,” katanya.

Menurut Amirudin, Deepavali atau Diwali, berasal daripada dua perkataan Sanskrit, bermakna barisan lampu iaitu deepa (lampu) manakala avali (barisan atau siri).

“Perayaan ini mempunyai kepentingan yang besar dan membawa makna unik terutama bagi penganut agama Hindu dan Sikh yang disambut dengan begitu meriah antaranya di Malaysia, Singapura, India serta Nepal.

“Bagi komuniti Hindu misalnya, perayaan ini yang disambut dalam bulan Kartik difahamkan mempunyai asal usulnya dari epik Ramayana apabila rakyat menyambut kepulangan Rama, Sita, Lakshmana dan Hanuman ke Ayodhya.

“Di Selatan India pula, makna Deepavali menerima maknanya selepas Krisha mengalahkan Narakasura. Itu sebabnya hari sebelum perayaan Deepavali disambut sebagai Naraka Chaturdashi bagi komuniti dari Selatan India,” katanya.

Tambahnya, bagi komuniti Sikh pula, selain daripada Vaisakhi, Diwali diraikan dengan asas sejarah abad ke-17, apabila Guru Hargobind Singh dibebaskan dari penjara Gwalior.

“Oleh kerana komuniti masing-masing mempunyai talian dan kepentingan yang tersendiri, itu sebabnya Deepavali diterapkan dalam filem yang begitu terkenal seperti Kabhi Khushi Kabhie Gham.

“Malah, filem lama ini terus ditayangkan pada musim perayaan sambil kawan-kawan dan keluarga berkumpul di rumah, memasang hiasan kolam, melaksanakan tanggungjawab sembahyang, dan menikmati juadah seperti muruku, laddu, dan athi resam.

“Upacara begini memberikan peluang kepada anak-anak berjumpa dengan ibu bapa serta kawan-kawan bagi mengukuhkan silaturahim,” katanya.